Lega selamat mendaratkan ‘jutaan harapan’ rakyat

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

AYER KEROH 21 Feb. – “Alhamdulillah, saya gembira dan lega sebab selamat mendaratkan vaksin yang menjadi harapan jutaan rakyat Malaysia,”

Itu perasaan dikongsikan Kapten Hamdan Che Ismail, 49, yang menerbangkan pesawat Airbus 330-300, MH604 membawa sebanyak 312,390 dos vaksin COVID-19 sehingga ianya selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 10.07 pagi tadi.

Anak kelahiran Tumpat, Kelantan itu yang sudah berkhidmat selama 29 tahun dengan Malaysia Airlines Bhd. (MAS) berkata, misi kali ini mempunyai cabaran tersendiri kerana membawa vaksin harapan rakyat Malaysia.

Kru penerbangan pesawat Airbus 330-300, MH604 bersedia untuk membawa
bekalan vaksin COVID-19 dari Singapura ke KLIA.

“Waktu dimaklumkan mengenai tugasan ini minggu lepas, apa yang selalu bermain di kepala adalah bimbang jika berlaku apa-apa yang boleh merosakkan vaksin.

“Cabarannya adalah vaksin COVID-19 ini aset penting yang amat sensitif dengan masa yang mungkin boleh menjejaskan jangka hayatnya jika berlaku kejadian tidak diingini,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini di sini hari ini.

Menurutnya, penerbangan MH604 yang berlepas dari Singapura pagi tadi disifatkan amat berharga yang tidak mungkin dilupakan walaupun hanya memakan masa satu jam perjalanan.

“Walaupun ia bukanlah satu penerbangan yang mencabar kerana jarak masa yang singkat, ia memberi pengalaman besar buat saya serta pembantu juruterbang, Kapten Mohd Shamsurin Mohd Mustafa, 51, dan empat anak kapal yang lain.

“Sebaik sahaja mendarat di KLIA pagi tadi, saya bersyukur kerana penerbangan berjalan lancar tanpa gangguan cuaca mahupun masalah teknikal pesawat.

“Terima kasih kepada semua pasukan daripada MAS dan semua pihak yang bertungkus lumus memastikan misi ini berjaya sepenuhnya,” katanya.

Terdahulu, jasa Kapten Hamdan diiktiraf Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong melalui instagramnya hari ini.

Beliau mengucapkan tahniah dan syabas kepada juruterbang itu yang juga Pengarah Operasi Penerbangan Malaysia Airlines, yang terlibat dalam membawa masuk bekalan vaksin Pfizer pertama ke Malaysia.

Untuk rekod, perjalanan vaksin ini dari kilang Pfizer di Belgium telah diuruskan Pfizer dan syarikat penghantaran antarabangsa, DHL melalui perjanjian di peringkat global.

Vaksin ini berlepas dari Puurs, Belgium dan transit di Leipzig Halle Airport, sebelum meneruskan perjalanan ke Singapura untuk pengedaran ke negara-negara Asia Pasifik lain, termasuk Malaysia.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

444
Kongsi :
Previous post Cemar sungai, syarikat pelupusan sampah dikompaun RM10,000.
Next post Muhyiddin syukur vaksin COVID-19 selamat tiba di Malaysia
Ubah saiz-+=