Lelaki ditahan bantu siasatan kemalangan babit tujuh kenderaan

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

JOHOR BAHRU, 9 Ogos – Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kemalangan membabitkan tujuh kenderaan dekat Kulai, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kulai Supt Tok Beng Yeow berkata lelaki berusia 38 tahun yang memandu Toyota Hilux itu dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol.

Beliau berkata lelaki berkenaan ditahan di sebuah stesen minyak di Saleng, dekat Kulai susulan aduan orang awam pada 7.30 malam.

Tok berkata lelaki itu yang datang dari arah pusat beli-belah Johor Premium Outlets di Jalan Persiaran Indahpura, telah merempuh lima kereta dan meneruskan pemanduannya ke Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua).

Beliau berkata lelaki itu kemudian melanggar dua lagi kenderaan dari arah belakang ketika memasuki Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam.

“Lelaki itu kemudian berhenti di sisi jalan dan bertindak melarikan Perodua Axia iaitu satu daripada dua kereta yang dilanggar, seterusnya menuju ke stesen minyak tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Tok berkata anggota kereta peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai yang menerima maklumat kejadian itu bertindak menahan lelaki terbabit sebaik tiba di stesen minyak itu dan membawanya ke IPD Kulai untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata tiada kecederaan dilaporkan akibat kejadian itu dan hasil saringan air kencing mendapati lelaki itu negatif terhadap dadah.

Katanya lelaki itu direman hingga Khamis ini untuk siasatan mengikut Seksyen 427 dan 379A Kanun Keseksaan serta Seksyen 42 dan 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987.

— BERNAMA

Views:

2081
Kongsi :
Previous post Syor lanjut tempoh MAHA
Next post Khemah baharu persediaan hadapi bencana
Ubah saiz-+=