
LELAKI MAUT MOTOSIKAL REMPUH BELAKANG KERETA
PAYA RUMPUT 16 September– Penunggang motosikal maut selepas kenderaan ditunggangnya melanggar bahagian belakang sebuah kereta di Lebuh AMJ Cheng berhampiran sebuah restoran makanan segera, pagi tadi.
Mangsa, Mohd Rahmat Abdullah, 47, yang bekerja di pasar borong disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala, manakala pemandu kereta berusia 55 tahun tidak cedera.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 10 pagi ketika kereta dipandu lelaki terbabit dari arah lampu isyarat Jalan Mohd Zin DSH menuju ke lampu isyarat Cheng Heights.
Katanya, sebaik berada di lokasi kejadian, kereta tersebut yang sedang bergerak lurus di lorong kanan dilanggar sebuah motosikal dari arah belakang kiri yang ditunggang mangsa.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.
“Kedua-dua kenderaan terlibat akan dibawa ke PUSPAKOM bagi pemeriksaan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sementara itu, Polis Melaka Tengah dalam satu kenyataan media memohon kerjasama orang awam yang melihat kemalangan tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan.
Kata kenyataan itu, maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Adhwa Jamal, Pegawai Penyiasat Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah di talian 011-26905852.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.