
LESEN LADANG AYAM SIMPANG BEKOH DITARIK, DIBENAR BEROPERASI SEMULA JIKA PATUHI SYARAT
BEMBAN 22 Jun – Sebuah ladang ternakan ayam di Simpang Bekoh diarah menghentikan operasi serta-merta selepas lesen operasinya ditarik berikutan aduan serius berkaitan pencemaran, bau dan serangan lalat yang mengganggu penduduk setempat.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, tindakan tegas itu diambil Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Melaka setelah pemilik ladang gagal mematuhi beberapa notis dan kompaun dikeluarkan sebelum ini.
“Ini bukan notis penutupan sementara atau kompaun biasa. Kita tarik lesen sepenuhnya sehingga pemilik ladang mematuhi lima syarat utama yang ditetapkan.
“Syarat ini termasuk pembinaan kolam takungan najis (sedimentation pond), penambahbaikan aspek kebersihan serta mendapat kepuasan hati penduduk kampung,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pembukaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban dan Penyerahan Taman Rekreasi Kesang Damai di Taman Kesang Damai, di sini, hari ini.
Hadir sama Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Penyelaras DUN Bemban, Mohd Raziff Yakop dan Setiausaha Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari.
Dr. Muhamad Akmal turut memaklumkan bahawa pengurusan ladang yang lemah menjadi punca utama berlakunya pencemaran.
“Dengan 16 reban ayam beroperasi, hanya 12 pekerja menguruskan keseluruhan kawasan itu, menyebabkan pengurusan najis menjadi lambat dan tidak sistematik, sekali gus mencetuskan pencemaran bau dan gangguan lalat kepada penduduk.
“Justeru, lesen hanya akan dikembalikan setelah semua syarat dipatuhi dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berpuas hati sepenuhnya dengan keadaan ladang berkenaan.
“Selagi mana syarat-syarat itu tidak dipenuhi, lesen akan terus ditarik dan ladang tidak dibenarkan beroperasi,” tegasnya.
Terdahulu pada 18 Jun (Rabu) lalu Dr. Muhamad Akmal telah melakukan lawatan secara mengejut ke ladang ternakan berkenaan selepas menerima aduan oleh penduduk setempat berkaitan masalah pencemaran bau dan serangan lalat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.