Sorting by

×

Lima premis musnah terbakar di Bandar Jasin

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

JASIN, 14 Sept. – “Terima kasih kepada lelaki yang menyelamatkan nyawa saya, tanpa dia mungkin sesuatu akan berlaku kepada saya tadi.

“Dalam keadaan sebegini dengan lutut sakit serta tidak dapat berjalan dengan cepat untuk selamatkan diri,” luah mangsa kebakaran Kuok Tai, 76.

Dalam kejadian kira- kira jam 8.15 malam itu, rumah kedai didiaminya di Bandar Jasin, berdekatan Bulatan Rim, dan empat premis lain termasuk gerai makan musnah terbakar.

Wanita warga emas itu berkata, ketika kejadian dia baru ingin menikmati makan malam sebelum dikejutkan dengan bunyi bising dari luar sebelum ternampak api marak dari sebelah rumah kedainya.

“Dengan keadaan yang sakit lutut saya berjalan perlahan- lahan ke pintu sebelum tiba- tiba datang seorang lelaki memimpin tangan saya.

“Dia turut menasihati saya agar keluar sehelai sepinggang kerana bimbang keselamatan diri sekiranya masuk semula ke dalam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Zon I Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Penguasa Kanan Bomba II Mohd Khairul Nizam Mohamad Anuar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.19 malam sebelum empat jentera masing- masing dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin Bestari, BBP Bukit Katil, BBP Padang Temu dan BBP Ayer Keroh bersama 36 anggota termasuk pegawai bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, setibanya dilokasi api sudah marak menghanguskan empat premis.

“Kebakaran membabitkan empat buah premis kekal yang musnah 100 peratus manakala sebuah premis separuh kekal yang hanya terbakar 50 peratus.

“Bomba menghadapi kesukaran apabila api merebak dengan cepat disebabkan struktur bangunan adalah kayu,” katanya.

Menurutnya, punca kebakaran masih dalam siasatan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Pihak forensik bomba sudah dimaklumkan dan siasatan akan dilakukan bagi mengenal pasti punca kebakaran,” katanya.

Views:

383
Kongsi :
Previous post Pekerja ladang sawit maut tertusuk sabit
Next post Sesi ‘townhall’ perlu dianjur di peringkat akar umbi
Ubah saiz-+=