Litar lumba sukan permotoran di Jasin

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

JASIN 4 Mac – Daerah Jasin dikenal pasti sebagai lokasi sesuai bagi pembinaan litar perlumbaan kekal yang akan menjadi venue pertandingan sukan permotoran berskala besar.

Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, VP Shanmugam berkata, pihaknya ada menerima cadangan bagi pembinaan litar daripada penganjur perlumbaan permotoran dan idea itu akan dipanjangkan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Jelasnya, hasrat Negeri Melaka untuk memiliki litar perlumbaan juga akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bagi tindakan lanjut.

“Kemudahan seumpama bagi sukan permotiran sudah ada di Durian Tunggal, namun bersaiz kecil. Saya akan bentangkan cadangan ini kepada Ketua Menteri dan dibincangkan, jika beliau setuju kita akan angkat dalam MMKN sebelum diteruskan bagi pembinaan.

“Saya difahamkan tapak yang selesa dan sesuai dengan kehendak atau persekitaran bagi litar litar adalah kira-kira seluas 200 ekar. Jadi saya Jasin amat sesuai kerana kedudukan lokasinya di tengah-tengah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Hadiah Kategori CP150 Kejuaraan Petronas MAM Malaysia Cub Prix, di Jasin Bestari, semalam.

Turut menyampaikan piala kejuaraan kepada pemenang adalah Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan.

Shanmugam berkata, sebelum ini jasin menjadi lokasi pelbagai kejohanan permotoran yang dianjurkan di negeri ini.

“Sebelum ini beberapa kejohanan perlumbaan sudah diadakan di sini jadi orang sudah kenal Jasin, faktor ini juga diambil kira.

“Namun ianya masih dalam peringkat cadangan. Kita amat berharap sekiranya ia dapat direalisasikan, bukan sahaja dapat menarik lebih ramai pelancong ke Melaka, sebaliknya menjadi medan mencari bakat baharu dalam sukan ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

491
Kongsi :
Previous post ‘Terima kasih kerana tak lupakan kami pesara polis’
Next post Md Akid kekalkan kejuaraan di Jasin
Ubah saiz-+=