‘Terima kasih kerana tak lupakan kami pesara polis’

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

MACHAP JAYA 4 Mac – “Terima kasih banyak-banyak kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh. Bantuan ini amat diperlukan bapa saya bagi menampung kos perubatan dan sebagainya,” kata Nurizzati Zulkifli, 34, anak kepada pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) Zulkifli A Rahman, 65, kini menghidap masalah saraf sejak lapan tahun lalu.

Nurizzati berkata, meskipun bapanya bertugas di Johor, namun Kerajaan Negeri pimpinan Ketua Menteri tetap menghargai jasa Zulkifli dengan memastikan kebajikan pesara itu terbela.

“Terima kasih kepada Ketua Menteri, meskipun ayah sudah pencen tetapi masih ada yang ambil berat terhadap dirinya. Masih ada yang pandang jasa ayah, sekali lagi terima kasih saya ucapkan kepada Ketua Menteri kerana bantuan ini benar-benar meringankan beban kami.

“Saya harap lebih banyak pihak ambil cakna kebajikan keluarga polis, tidak kira masih berkhidmat atau sudah pencen. Kebajikan itu penting buat kami, ambil tahu apa kekurangan kami,” katanya.

Whatsapp Image 2024 03 03 At 8.38.54 Pm
NURIZZATI bersama Zulkifli ketika ditemui di IPD Alor Gajah.

Terdahulu, Zulkifli antara lima penerima bantuan kerusi roda dan kit makanan disampaikan Ab Rauf pada Program Community Policing Ketua Menteri Melaka Bersama Warga PDRM Alor Gajah diadakan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, di sini, semalam.

Sementara itu, Zulkifli kini menetap di Taman Lesung Batu Jaya berkata dia tidak menyangka akan menerima bantuan itu.

Katanya, masalah saraf menyebabkan dia terpaksa bersara dan kini bergantung kepada kerusi roda bagi melakukan aktiviti harian.

“Saya tidak sangka dan tidak pernah terfikir akan menerima sumbangan yang disampaikan sendiri oleh Ketua Menteri, semua ini luar jangkaan saya.

“Terima kasih saya ucapkan kerana ini membantu mengurangkan bebanan yang saya tanggung. Setakat ini saya masih bergantung kepada ubat dari hospital selepas menjalani pembedahan tulang belakang tahun lalu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

570
Kongsi :
Previous post Melaka juara Kejohanan Golf Piala MCM & MDN
Next post Litar lumba sukan permotoran di Jasin
Ubah saiz-+=