Sorting by

×

Lokasi baharu HSR 2.0 ambil kira pelbagai faktor, jimat kos

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

MERLIMAU, 3 Ogos – Kerajaan Negeri Melaka telah mengenal pasti lokasi baharu bagi pembangunan stesen projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR 2.0) iaitu berhampiran Bandar Hijau bersempadan antara dua daerah iaitu di Durian Tunggal, Alor Gajah dan Ayer Panas di Jasin bagi mengurangkan kos pembinaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Insfrastruktur negeri Datuk Roslan Ahmad berkata pemilihan lokasi baharu itu juga mengambil kira faktor
mengelak kawasan berkepadatan tinggi.

Katanya, perubahan lokasi jajaran baharu ini yang membabitkan landasan hampir 60 kilometer itu perlu dilakukan untuk mengelakkan pengambilan tanah yang banyak selain kawasan yang mempunyai nilai hartanah tinggi dalam usaha mengurangkan kos keseluruhan projek tersebut.

Menurut Roslan lagi, pada peringkat awalnya, HSR memang dicadangkan di kawasan Ayer Keroh tetapi memandangkan lokasi tersebut berdekatan dengan kawasan Loji Air Bertam yang memungkinkan kerja-kerja pengalihan loji membabitkan kos yang lebih tinggi, maka rasional pertukaran lokasi adalah amat wajar.

BANDAR Hijau Hang Tuah Jaya

“Jika dibina juga di Ayer Keroh, projek-projek tersebut akan berdepan dengan usaha pengalihan Loji Air Bertam dan ia akan melibatkan kos besar, bahkan faktor kepadatan penduduk juga perlu diambil kira kerana ia melibatkan penggunaan tanah yang luas dan banyak.

“Atas faktor untuk memaksmimukan kos, kerajaan mencadangkan jajaran pembinaan kereta api berkelajuan tinggi ini ditukar ke lokasi baharu kerana ia lebih holistik dan strategik dan ada beberapa kawasan juga akan dialihkan sedikit ke jalan asal supaya tidak mengguna ruang tanah kawasan padat bagi megelak peningkatan kos,” katanya.

Roslan berkata demikian semasa diwawancara bersama Melaka Hari Ini (MHI) di pejabat beliau, baru-baru ini.

Tambah Roslan lagi, selain itu projek berskala besar ini juga mengambil kira juga soal penempatan kerana jika dibangunkan di kawasan kepadatan penduduk yang tinggi, ia akan berdepan pelbagai kekangan.

“Projek yang dianggarkan menelan belanja antara RM40 bilion ke RM50 bilion untuk kos asal yang melibatkan jarak sejauh 60 kilometer membabitkan kerajaan Malaysia dan Singapura ini, juga terpaksa dikurangkan daripada tujuh kepada lima stesen sahaja.

“Bagaimanapun kerajaan negeri masih mencadangkan supaya reka bentuk stesen mengikut pelan asal berbentuk kapal dapat diteruskan seperti mana yang dipersetujui sebelum ini bagi menonjolkan ikonik setiap negeri terlibat,” katanya.

Views:

373
Kongsi :
Previous post Kematian kanak-kanak akibat kecuaian ibu bapa antara tumpuan dewan rakyat hari ini
Next post Panorama ke arah struktur lebih efisien
Ubah saiz-+=