Panorama ke arah struktur lebih efisien

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

MERLIMAU, 3 Ogos – Pengangkutan awam merupakan prasarana yang sangat penting bagi keperluan sebahagaian besar rakyat terutama bagi golongan B40 sebagai pengangkutan utama mereka, justeru kerajaan negeri menyelaras sistem pengangkutan awam di bawah pengurusan Syarikat Panorama Sdn Bhd (Panorama).

Bagaimanapun menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Insfrastruktur negeri Datuk Roslan Ahmad berkata kebanyakan bas Panorama yang disewa dengan syarikat konsesi seperti Scomi, Batang Bus dan Nadi Putra turut berdepan masalah kerosakan serta penyelenggaraan tinggi yang tidak setimpal.

“Di bawah portfolio saya, kami memutuskan untuk menambah baik sistem pengangkutan awam di negeri ini menerusi pembelian beberapa bas Panorama menjelang Oktober depan bertujuan untuk menambah baik semula perkhidmatan bas Panorama yang diselia.

“Keputusan ini juga berkait rapat dengan usaha menstruktur semula pendapatan kewangan syarikat bagi mengukuhkan lagi dimensi perniagaan perkhidmatan mereka.

Tambah Roslan lagi usaha ke arah itu sedang dilaksana dan pihaknya bersetuju untuk membeli beberapa buah bas baharu dalam masa terdekat sesuai dengan saranan dan syarat-syarat yang ditetapkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Sudah tiba masanya, Panorama perlu memiliki aset bas sendiri bagi tujuan penambahbaikan pengangkutan awam yang lebih efisien dan berdaya saing

“Justeru anak syarikat kerajaan negeri ini secara tidak langsung akan meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam di Melaka selain dapat menjana pendapatan ke arah penstrukturan syarikat yang lebih efisien dan berdaya saing.

“Setakat ini pihak pengurusan bas sedang meneliti dan berbincang dengan pembiaya yang boleh meluluskan pinjaman memandangkan kos pembelian bas dengan anggaran RM500,000 hingga RM600,000,” katanya baru-baru ini.

Roslan turut menjelaskan Panorama memiliki 26 buah bas tetapi malangnya ada beberapa kenderaan tersebut tidak boleh beroperasi menyebabkan syarikat mengalami kerugian.

“Jika kita sewa bas, sewa kena bayar sedangkan kita tidak dapat meneruskan operasi dan tidak mendapat untung.

“Jadi kita sudah membuat pertimbangan wajar untuk memiliki bas sendiri dan akan membeli secara berperingkat dan mungkin hanya membeli antara dua atau tiga biji bas terlebih dahulu,” katanya.

Dalam masa sama, Roslan berkata kerajaan negeri terus menambahbaik pelaksanaan bas percuma di beberapa laluan tertentu yang menelan perbelanjaan kira-kira RM1.4 juta setahun.

“Kerajaan negeri juga bersetuju untuk menambah dan memanjangkan laluan bas percuma ini ke kawasan Warisan Dunia bagi tujuan komersil dan tarikan ke kawasan pelancongan.

“Ini antara penambahbaikan yang kita nak bagi kepada rakyat di Melaka dan mereka juga boleh menggunakan kemudahan ini untuk tujuan lain dan memastikan kemudahan tersebut benar-benar dimanfaatkan orang ramai,” jelasnya.

Views:

431
Kongsi :
Previous post Lokasi baharu HSR 2.0 ambil kira pelbagai faktor, jimat kos
Next post Capaian internet diperluas
Ubah saiz-+=