Capaian internet diperluas
MERLIMAU, 3 Ogos – Kerajaan negeri menyasarkan peningkatan capaian internet di seluruh Melaka khususnya di kawasan luar bandar melalui kerjasama dengan syarikat telekomunikasi tempatan dalam usaha meningkatkan penggunaan jalur lebar yang lebih pantas.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Insfrastruktur negeri Datuk Roslan Ahmad menjelaskan meskipun terdapat beberapa kekangan seperti capaian internet lemah yang terpaksa dihadapi, namun beberapa pelan sudah dirangka bagi menghadapi masalah berkenaan.
“Syarikat telekomunikasi tempatan terpaksa berhadapan masalah capaian internet ini khususnya bagi liputan internet di luar bandar.
“Jadi kita masih berbincang dengan agensi berkaitan agar penggunaannya dapat diperluas dalam masa terdekat memandangkan keperluan teknologi maklumat amat penting khususnya dalam mengharungi pandemik COVID-19 pada waktu ini,” katanya.
Roslan juga memberitahu pihaknya kini menumpukan usaha dan gerak kerja bagi memastikan masyarakat negeri ini dapat menerima kemudahan capaian internet dalam tempoh yang lebih pantas.
“Seperti yang kita tahu, sejak pandemik COVID-19 melanda negara, pelbagai norma baharu yang terpaksa rakyat lalui namun kekangan capaian jalur lebar di kawasan luar bandar juga memungkinkan orang ramai dan pelajar tidak dapat mengikuti pembelajaran secara dalam talian kerana berdepan capaian Internet yang tidak memuaskan selain masalah kekurangan infrastruktur asas lain.
“Keadaan ini menyebabkan rakyat terpaksa berurusan secara dalam maya baik di dalam urusan kerja profesional dan peribadi. Jadi kita mahu rakyat bersedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya berlaku perkara sedemikian di masa akan datang,”katanya.
Tambahnya, beliau amat optimis dalam memastikan segala permasalahan capaian internet di negeri ini dapat diselesaikan dengan segera demi memudahkan urusan rakyat dalam segenap hal.
“Kalau kita lihat masih banyak kawasan di luar bandar tidak dapat dihubungkan dengan kemudahan capaian intenet dan telefon mengakibatkan bukan sahaja pelajar bahkan orang ramai juga ketinggalan maklumat kerana tidak berjaya mengakses ruang maya yang disokong oleh penggunaan internet.
“Saya sangat optimis bahawa capaian internet yang kurang memuaskan ini akan dapat ditangani dan selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Insfrastruktur, saya dan pihak agensi berkaitan juga sedaya upaya sedang mengatasi masalah tersebut,”katanya.