Sorting by

×

Kualiti sistem jalan raya akan dipertingkatkan

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat

MERLIMAU, 3 Ogos – Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Insfrastruktur negeri Datuk Roslan Ahmad menegaskan dari segi infrsatruktur dan sistem jalan raya, Negeri Melaka secara umumnya boleh dikatakan antara negeri yang baik mendapat tahap kepuasan penggunanya.

Tambah beliau kecekapan infrastruktur antara lain dicapai menerusi perancangan secara holistik cadangan pembinaan lebuh raya termasuk ‘outer ring road’ dan ‘inner ring road’ dengan keseluruhan pakej merangkumi kos sebanyak RM4 bilion.

Jelasnya usaha tersebut perlu mendapat kelulusan peruntukan kerajaan pusat dan pihak kerajaan negeri sendiri pada waktu ini sedang berusaha secara berperingkat dalam memastikan kualiti jalan raya negeri ini dapat ditingkatkan.

“Kerajaan di bawah pentadbiran BN yang lepas sudah pun memulakan pembinaan jejantas baharu di lokasi persimpangan strategik serta laluan utama antaranya dari persimpangan Ayer Keroh ke Hospital Besar sebagai solusi penyelesaian terbaik bagi menangani kesesakan lalu lintas yang kronik.

“Keperluan jalan raya yang efisien ini dapat menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas, selain memperkasa projek ‘inner ring road’ dan ‘outer ring road’ bagi membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas,” katanya.

Selain itu kata Roslan lagi usaha meningkatkan kualiti sistem jalan raya ini juga dipertingkatkan menerusi pembinaan lebuh raya baharu ‘Coastal Highway’ yang bermula dari Kuala Linggi hingga ke Tanjung Bruas dan kemudiannya masuk ke Melaka Raya menerusi Kota Laksamana.

Jajaran berikutnya ialah di lalaun berdekatan hotel Hatten yang menghubungkan Semabok hingga Ayer Keroh, di mana cadangan penyelesaian jangka panjang ini dijangka akan merancakkan juga pertumbuhan ekonomi Negeri Melaka secara keseluruhan.

Cadangan pembinaan lebuh raya itu juga sekali gus dapat menggalakkan aktiviti eko-pelancongan dan kawasan pantai yang terlibat dengan pembinaan pakej ‘inner ring road’ dan ‘outer ring road’ dengan arah pembangunan negara yang mengutamakan sektor pelancongan dan perkhidmatan.

Menurutnya, kerajaan negeri juga memperluaskan penggunaan lampu isyarat pintar menggunakan teknologi ‘Synchronize Green Wave’ (SGW) di semua jalan utama selepas projek perintis penggunaan sistem berkenaan di persimpangan bertingkat
Ayer Keroh yang kini berjaya mengurangkan kesesakan lalu lintas akibat lampu isyarat yang banyak.

Katanya pemasangan lampu isyarat pintar itu akan dibuat secara berperingkat dan masalah kesesakan lalu lintas di persimpangan utama di Lebuh Ayer Keroh dapat dikurangkan waktu perjalanan khususnya menuju ke pusat bandar.

“Teknologi SGW berupaya mengurangkan masa menunggu di setiap lampu isyarat kerana rangkaian sistem mampu dikawal melalui pusat kawalan di Jabatan Kerja Raya (JKR) yang mana sistem ini akan berfungsi serentak, jika hijau semua laluan akan berwarna hijau dan begitu juga sebaliknya.

“Sistem pintar itu membolehkan trafik terus berjalan tanpa perlu berhenti di setiap persimpangan berikutan laluan lampu hijau dapat diselaraskan mengikut jarak dan kelajuan kenderaan,” tambahnya lagi.

Views:

1621
Kongsi :
Previous post Capaian internet diperluas
Next post Pemimpin politik perlu bijak bentuk formula baharu
Ubah saiz-+=