Pemimpin politik perlu bijak bentuk formula baharu

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER MOLEK 3 Ogos – Pemimpin parti politik hari ini perlu menggunakan kebijaksanaan untuk membentuk formula baharu bagi mendepani cabaran Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Tegas Pengerusi Yayasan Penggerak Wawasan (YPW), Tan Sri Rahim Tamby Chik supaya hasrat rakyat untuk mempertahankan agama, bangsa dan tanah air terpelihara.

Mantan Ketua Menteri Melaka itu berkata, pejuang parti perlu menanam sikap berkorban untuk berjuang demi rakyat meskipun terdapat perbezaan dalam fahaman politik.

“Walaupun kita ada ideologi lain dalam parti, tetapi kita terpaksa melepaskan apa yang kita ada dan mengambil apa yang tiada sehingga mencapai kata sepakat yang baik, yang mampu menghadapi cabaran akan datang.

“Kita kena cari formula baru walaupun terpaksa melepaskan beberapa hak kita yang ada dan berkorban dalam semangat perjuangan untuk menghadapi cabaran yang lebih besar dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengagihkan sumbangan daging korban kepada penduduk di empat lokasi di kawasan Peringgit, Sungai Putat, Taman Tun Rahah dan Pengkalan Minyak.

Dalam majlis pengagihan itu, beliau menyumbangkan empat ekor lembu sebelum daging korban diagihkan kepada golongan memerlukan.

Rahim berkata, sekiranya tiada kesepakatan dalam perjuangan parti, risiko lebih besar akan mendatangi pentadbiran kerajaan pada masa akan datang.

“Jika kita tidak betul, (pihak) minoriti mengawal majoriti boleh berlaku dalam negara kita.

“Saya minta pemimpin lebih rasional dan mesti ada kewarasan otak, jangan bercakap mengikut nafsu serta menghadapi keadaan dengan tenang.

“Saya suka untuk menasihatkan pemimpin atasan gunakan kebijaksanaan untuk menentukan hasrat rakyat untuk mengekalkan majoriti kekal di negara ini,” katanya.

Views:

343
Kongsi :
Previous post Kualiti sistem jalan raya akan dipertingkatkan
Next post ‘Bincang elok-elok’
Ubah saiz-+=