Sorting by

×

‘Bincang elok-elok’

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

“KALAU boleh adakanlah perbincangan bersama dan selesaikan cara baik”.

Demikian saranan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi mengenai isu tunggakan gaji pemain import Thailand, Naruphon Wild Putsorn yang kini dibawa ke pengetahuan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Menurutnya, pihaknya akan segera menggerakkan Setiausaha Agung dan Penasihat Undang-undang MUSA untuk mengadakan pertemuan dengan bekas pemain Buriram United itu bagi menjernihkan keadaan dan mengelakkan isu tersebut menjadi lebih besar.

“Saya membaca kenyataan itu ia seolah-olah mengatakan bahawa dia tidak dilayan dengan sewajarnya. Jadi, saya fikir kalau ada perbincangan dan kefahaman yang lebih baik mungkin dia tidak akan ambil tindakan sebegitu.

“Soal gaji, semua pasukan alami perkara sama. Walaupun cepat atau lambat, akhirnya kita tetap kena bayar. Jadi, kalau ada penyelesaian secara persetujuan bersama itu adalah lebih baik pada saya.

“Jadi saya berharap, Setiausaha Agung dan Penasihat Undang-undang kita dapat berhubung dan memberi kefahaman lebih baik kepada pemain ini supaya dia berpuas hati dan tidak menjadikan isu ini lebih besar,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, Mohd Yusoff bagaimanapun tidak menyalahkan pemain yang mesra dengan panggilan Nazza itu memandangkan dia mempunyai hak untuk berbuat demikian.

“Itu hak pemain sebenarnya. Mereka ada hak untuk melaporkan ke FIFA atau Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sekalipun. Mungkin dia dah dinasihatkan peguam untuk berbuat demikian.

“Kita memang tak boleh halang dan kita juga akan mengambil tindakan yang bersesuaian dengan kes ini,” katanya lagi.

Terdahulu, menurut laporan sebuah akhbar tempatan, Naruphon Wild dikatakan telah membawa kes tunggakan gaji selama lima bulan ke pengetahuan FIFA selepas menamatkan kontrak bersama Melaka United pada 24 Julai lalu.

Perkara itu disahkan oleh ejen pemain berkenaan yang memaklumkan isu itu sudah diberi maklum balas oleh badan induk bola sepak dunia itu dan kini hanya menunggu penjelasan daripada skuad Hang Tuah.

Views:

487
Kongsi :
Previous post Pemimpin politik perlu bijak bentuk formula baharu
Next post Pergi kerja, hadir mesyuarat punca ibu bapa tertinggal anak dalam kereta
Ubah saiz-+=