Lokomotif Kelas 21 bakal dilengkapi simulator, galeri sejarah

Masa Membaca:2 Minit, 13 Saat

BANDA HILIR 29 Disember – Gerabak Lokomotif Kelas 21 bernama Sungai Lukut yang selesai dibaik pulih oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dijangka dilengkapi simulator serta galeri sejarah sebagai usaha untuk mengimbau semula perkhidmatan pengangkutan itu di Melaka.

Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Kebudayaan negeri, Datuk Zaidi Attan berkata, perancangan untuk menyediakan simulator dan galeri sejarah itu mampu menjadi tarikan baharu serta memberi pengalaman berharga kepada pengunjung terutama rakyat Melaka.

Katanya, keputusan menyediakan perkhidmatan itu bagaimanapun bergantung kepada Ahli Lembaga Pengarah KTMB untuk meneruskan persefahaman itu bersama Kerajaan Negeri.

“Saya akan ajukan satu surat permohonan supaya persefahaman itu diteruskan dengan pengisiannya kepada pembuatan Muzium Lokomatif yang menceritakan tentang sejarahnya.

“(Galeri sejarah) bukan hanya dalam negara bahkan pengkhususan sejarah lokomotif yang pernah ada di Melaka, yang mana sebelum ini (stesen keretapi) ada di Jalan Kubu.

“Kita akan laksanakan kunjung hormat dengan Ahli Lembaga Pengarah KTMB, kita panjangkan permohonan itu dan kita akan isikan sebagai lokomotif dalam Melaka dan Malaysia, selain membangunkan simulator bagi membolehkan pengunjung merasai pengalaman pemanduan serta menaiki kereta api,” katanya.

Photo 2023 12 29 12 53 10
Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan (dua dari kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin (kiri) bergambar bersama selepas Majlis Penyerahan Siap Kerja Menaik Taraf Lokomotif Kelas 21-21111 Oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Kepada Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) Di Laman Rakyat, Jalan Kota, Banda Hilir, Melaka. Foto: MR. AZLI

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Lokomotif Kelas 21 (21111) oleh KTMB kepada Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) di Laman Rakyat, Banda Hilir di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin dan Timbalan Pengerusi, Lembaga Pengarah Perzim, Datuk Akramuddin Ab Aziz dan Pengurus Besar Perzim, Drs Moh Nazruddin Rahman.

Zaidi yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Perzim berkata, pihaknya menjangkakan perancangan itu dapat direalisasikan pada Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Dari segi luaran, ia sudah mula dibuka kepada orang ramai untuk mengambil gambar namun pengisian di dalamnya belum ada.

“Kita akan perincikan perkara itu dan perancangannya sekurang-kurangnya diletakkan gambar dan informasi dalam tempoh sebulan manakala perancangan simulator akan ambil sedikit masa,” katanya.

Sebelum ini, lokomotif itu ditutup sementara bagi membolehkan KTMB melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan bermula 26 Januari lalu dan siap pada pertengahan Ogos, melibatkan seramai 50 kakitangannya dari Jabatan Penyelenggaraan Koc dan Stokereta serta Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD).

Kerja-kerja membaik pulih yang menelan kos RM250,000 ditanggung sepenuhnya oleh KTMB melibatkan kerja mengecat semula dan pembaikan struktur dalaman serta luaran fizikal lokomatif tersebut selain pemasangan pelbagai peralatan bersesuaian.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1724
Kongsi :
Previous post KIAM’23: Ceramah Ustaz Sabun meriah
Next post KTMB kerjasama dengan pihak swasta tampung penambahan aset
Ubah saiz-+=