LTAM: Guna alternatif lain jika syarikat penerbangan komersial ‘senyap’

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

BANDA HILIR 25 Oktober – Kerajaan Negeri akan mencari alternatif lain untuk memajukan Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) sekiranya tiada syarikat penerbangan komersial memberi maklum balas selewat-lewatnya 30 Oktober ini.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata pihaknya masih menunggu maklum balas daripada tujuh syarikat penerbangan komersial terbabit.

Photo 2023 10 25 14 41 52
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer pada sidang media selepas Walkabout Jawatankuasa Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Keselamatan Tahun Melawat Melaka 2024 di Banda Hilir. Foto Iqmal Haqim Rosman

Bagaimanapun, katanya LTAM masih lagi berfungsi untuk pendaratan kapal terbang bersasar termasuk sewaan pesawat dan helikopter.

“Sampai ke hari ini, semua syarikat penerbangan komersial itu belum beri maklum balas terhadap tawaran kerajaan negeri sebelum ini.

“Tapi saya akan menunggu sehingga ke 30 Oktober ini dan sekiranya tiada syarikat memberi maklum balas, saya akan berbincang dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh untuk mencari alternatif lain di sini (LTAM),

“Antara faktor tiada balasan (maklum balas) dari mereka (syarikat penerbangan komersial) mungkin kerana permintaan orang ramai bermusim, kebiasaan pada sambutan perayaan atau cuti sekolah. Hari biasa, kurang sambutan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Walkabout Jawatankuasa Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Keselamatan Tahun Melawat Melaka 2024 di sini hari ini.

Untuk rekod, September lalu, Kerajaan Negeri menawarkan insentif kepada tujuh syarikat penerbangan komersial untuk beroperasi di LTAM.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

986
Kongsi :
Previous post Perkampungan Ikan Bakar Terapung Umbai bakal berubah wajah
Next post Usahawan wanita daftar SSM, bantu dapat dana
Ubah saiz-+=