Usahawan wanita daftar SSM, bantu dapat dana

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

BUKIT KATIL 25 Oktober – Usahawan Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) Negeri Melaka disarankan supaya mendaftar perniagaan mereka di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi memudahkan urusan mendapatkan bantuan pinjaman.

Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Tuminah Kadi@Mohd Hasim berkata, ia sekali gus memberikan jaminan kepada usahawan pertubuhan itu memasarkan produk mereka sehingga luar negeri.

“Gunakan peluang yang ada untuk lebih berdaya maju di masa hadapan, saya yakin WI boleh menjadi peneraju dalam melahirkan usahawan yang membanggakan negeri Melaka.

“Justeru, hari ini kita panggil 50 usahawan WI supaya hadir mendengar taklimat bantuan pinjaman perniagaan yang ditawarkan kepada mereka untuk perluaskan perniagaan.

“Ini bukan program biasa, kita akan pantau dan seandainya ada antara produk usahawan berkualiti dan boleh diketengahkan, kita akan bantu hingga usahawan ini menjadi jutawan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Taklimat Bantuan Pinjaman Perniagaan Program Usahawan Bersama Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Melaka di Dewan Terbuka Istana Melaka di sini, hari ini.

Program berkenaan disempurnakan oleh isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman merangkap Pengerusi WI Negeri Melaka.

Hadir sama, Naib Pengerusi 2 WI Negeri Melaka, Datin Juliana Mohd Hassan dan ahli-ahli WI Negeri Melaka dan wakil-wakil Bank Simpanan Nasional (BSN) Melaka.

Dalam pada itu, Tuminah turut menasihatkan agar usahawan wanita di negeri ini sentiasa berfikiran positif dalam mencapai matlamat mereka.

“Setiap kejayaan itu mestilah bermula daripada diri sendiri dan kita perlu sentiasa berfikiran positif serta jangan mengalah,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1805
Kongsi :
Previous post LTAM: Guna alternatif lain jika syarikat penerbangan komersial ‘senyap’
Next post TMM2024: RM3 juta naik taraf jalan raya luar bandar
Ubah saiz-+=