
LUKISAN 128 METER PELAYARAN CHENG HO SIMBOL HUBUNGAN DUA BUDAYA
BANDA HILIR 24 Oktober – Lukisan Pelayaran Cheng Ho sepanjang 128 meter dihasilkan oleh artis terkenal China, Yan Feng, kini dipamerkan di Akademi Pengajian Cheng Ho Antarabangsa Malaysia sebagai simbol hubungan budaya antara Melaka dan China.
Pengetua Institut Penyelidikan Zheng He Melaka, Prof Dr. Ching Swee Huat berkata, karya agung itu merupakan hasil seni berprestij.
Katanya, ia juga merupakan bahan rujukan sejarah visual yang amat berharga, menggambarkan pelayaran Laksamana Cheng Ho ke Samudera Barat lebih 600 tahun lalu.
“Lukisan ini mencipta semula epik penjelajahan Cheng Ho sebanyak tujuh kali pelayaran yang mengambil masa selama 28 tahun dari tahun 1405 hingga 1433, meliputi 37 negeri dan wilayah, kebanyakannya berpenduduk Islam.
“Ia melambangkan semangat muhibah dan pertukaran budaya antara tamadun,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Lukisan Pelayaran Cheng Ho yang disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Laksamana Low Chee Leong di Institut Penyelidikan Zheng, di sini, hari ini.
Menurutnya, Dr. Ching, artis Yan Feng yang juga profesor di Universiti Suzhou, China itu mengambil masa lima tahun dari 2012 hingga 2016 untuk menyiapkan karya berkenaan.
“Melaka bertuah kerana menjadi lokasi pameran ini. Ia bukan sahaja mengangkat nilai sejarah tetapi turut memperkukuh hubungan diplomatik dan pelancongan budaya antara kedua-dua negara,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


