Lupakan hasrat curi balik kampung- Polis Perak

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

IPOH 30 April. – Orang ramai yang ingin mencuba nasib merentas negeri tanpa kebenaran terutama ke arah negeri-negeri di Pantai Timur diingatkan agar melupakan hasrat mereka itu kerana polis Perak akan mengetatkan kawalan di laluan berkenaan menjelang sambutan Aidilfitri.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pemeriksaan lebih ketat kini dikuatkuasakan di semua sekatan jalan raya (SJR) kerana ramai dipercayai tetap berdegil mahu bergegas pulang ke kampung masing-masing untuk menyambut perayaan.

“Sempadan antara Perak dan Pahang terutamanya di Jalan Cameron Highlands di sini adalah laluan utama mereka untuk melakukan perjalanan pulang ke Kelantan dan Pahang.

“Jadi, pemeriksaan dibuat dengan lebih ketat,” katanya pada sidang media Program Singgah Sahur Ketua Polis Perak ke Daerah Ipoh di SJR berkenaan awal pagi ini.

KETUA Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid. Foto-PDRM.

Beliau berkata orang ramai diingatkan supaya tidak melanggar larangan dikenakan termasuk cuba memalsukan surat kebenaran rentas negeri kerana polis tidak akan teragak-agak mengenakan kompaun serta mengarahkan mereka berpatah balik.

Menurutnya, polis Perak telah mengeluarkan 120 kompaun atas pelbagai kesalahan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sejak 1 April hingga Rabu lalu dengan kadar pematuhan sebanyak 96 peratus.

Bagaimanapun, bagi yang pulang ke kampung di dalam negeri susulan diberi kebenaran merentas daerah, mereka digalakkan supaya memaklumkan bilik gerakan daerah untuk pemantauan menerusi sistem aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) yang membolehkan polis bersiapsiaga termasuk rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan, katanya.

Terdahulu, sebanyak 100 petugas barisan hadapan menerima sumbangan biskut raya daripada Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP) yang mengikuti program berkenaan di SJR Jelapang, Ampang, Plaza Tol Simpang Pulai dan Jalan Cameron Highlands serta beberapa balai polis.

Presiden PPMP Sayed Hesham Idris berkata program julung kali diadakan itu bertujuan merapatkan hubungan antara pengamal media bersama pihak polis yang saling memerlukan kerjasama dalam melaporkan berita mengenai kejayaan polis dan jenayah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1046
Kongsi :
Previous post Usahawan tidak berdaftar SSM digalakkan mohon SPIN untuk biaya perniagaan
Next post Doktor antara enam ditahan edar dadah
Ubah saiz-+=