MAHA 2022 potensi usahawan Melaka penuhi permintaan dunia

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

SERDANG 9 Ogos – Penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) mampu membuka peluang usahawan negeri dalam memperluaskan produknya ke pasaran antarabangsa.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka Hairudin Yunos berkata, produk negeri yang dipamerkan di Pavillion Melaka mampu dikembangkan ke peringkat antarabangsa berikutan beberapa syarikat menerima beberapa ‘lamaran’ untuk dipasarkan ke peringkat lebih tinggi.

“Kita lihat penganjuran di Pavillion Melaka kali ini cukup ketara perubahannya berbanding pada tahun 2018 selepas pelbagai pembaharuan telah dilaksanakan kerajaan negeri sehingga kini (sehingga) mampu menarik lebih 10,000 pengunjung.

“Pelbagai makanan simbolik negeri ini telah dijual menerima sambutan pelanggan malah ada antara gerai yang menjual produk mereka turut menerima tawaran untuk dipasarkan ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Insyallah, FAMA akan terus berganding bahu membantu usahawan untuk capai ke peringkat yang lebih tinggi pada masa akan datang dan inilah juga merupakan platform kita untuk buka pasaran baharu kepada usahawan terlibat untuk membantu mereka dari sudut pembangunan ekonomi yang sekali gus membawa pulangan berkualiti kepada pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas ditemui di Pavillion Melaka, MAHA 2022 di Maeps di sini hari ini.

Pengarah FAMA negeri, Hairudin Yunos. Foto Iqmal Haqim Rosman

Dalam pada itu, beliau berkata FAMA Melaka kini bergerak seiring dengan hasrat kerajaan bagi memastikan sekuriti bekalan makanan negara mampu menampung keperluan masyarakat pada masa akan datang.

Jelasnya, pelbagai pendekatan akan diambil FAMA Melaka bagi merealisasikan hasrat berkenaan menerusi pelbagai program dan acara yang akan dilaksanakan bagi memastikan pengguna mampu mendapatkan barangan yang berkualiti dengan harga yang berpatutan.

“Insyallah, menerusi FAMA Melaka, kerajaan negeri telah menyokong hasrat kita untuk mewujudkan Agro Market iaitu merupakan sebuah produk lokasi pemasaran baharu membabitkan 100 mukim yang ada di negeri ini.

“Dalam masa sama juga kita turut akan menganjurkan Pasar Subuh dalam masa terdekat ini bagi memastikan semua pengguna dapat menikmati barangan yang berkualiti.

“Malah, pada masa sama di Melaka juga kita turut mengadakan Program Jualan Terus Keluarga Malaysia dimana penganjurannya telah empat kali diadakan di negeri ini akan diteruskan pada pertengahan Ogos nanti,” katanya.

Views:

1555
Kongsi :
Previous post 1,000 malim gunung perhutanan bertauliah tahun depan
Next post Kawasan pendakian berisiko perlu guna khidmat MGP bermula 2023
Ubah saiz-+=