Kawasan pendakian berisiko perlu guna khidmat MGP bermula 2023

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 9 Ogos – Aktiviti pendakian di semua 211 lokasi dikenal pasti berisiko tinggi di Hutan Simpan Kekal (HSK) seluruh negara perlu menggunakan khidmat Malim Gunung Perhutanan (MGP) bermula 2023.

Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia Datuk Indera Mohd Ridza Awang berkata, Malaysia mempunyai banyak lokasi pendakian dan pihaknya akan menggazetkan kawasan berisiko perlu menggunakan khidmat MGP bagi mengelakkan risiko kemalangan.

“kita akan minta semua Pengarah Jabatan Perhutanan negeri untuk kenal pasti kawasan berisiko, kerana lokasi berkenaan yang menjadi keutamaan kita.

“Setiap MGP boleh bawa tujuh pendaki. Bagi kami seorang MGP boleh kawal jumlah pendaki itu, kalau lebih perlu guna khidmat seorang lagi MGP.

“Syarat ini kita cadangkan untuk dikuatkuasakan pada 2023 namun ia tertakluk kepada persetujuan kementerian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Kursus Asas MGP Negeri Melaka, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik dan Antarabangsa Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) Khairulnizam Hashim, Pengarah Perhutanan Negeri Melaka Khirun Nizam Abdul Rahim serta Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Melaka Abu Bakar Katain.

“Tahun ini sahaja sudah 400 kemalangan membabitkan pendaki dilaporkan di seluruh negara. Tiada statistik bandingan kerana pada 2020 dan 2021 aktiviti mendaki, rekreasi atau eko pelancongan tidak dibuka sepanjang pandemik.

“Tapi bila dibuka sepenuhnya tahun ini, jumlah kemalangan dalam kalangan pendaki agak tinggi. Ada juga tidak patuh dan dikesan melakukan pendakian tanpa permit, perbuatan ini dianggap melanggar kawasan tertutup masuk tanpa kebenaran, telah diambil tindakan.

“Saya nasihatkan pihak ingin melakukan pendakian dalam kawasan HSK, dapatkan permit khas atau kebenaran. Kawasan berkenaan kita kategorikan sebagai hutan tertutup,” katanya.

Views:

1827
Kongsi :
Previous post MAHA 2022 potensi usahawan Melaka penuhi permintaan dunia
Next post Syor lanjut tempoh MAHA
Ubah saiz-+=