Mahkamah arah Abd Latif Bandi, anak bela diri tuduhan rasuah RM35.7 juta

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

JOHOR BAHRU 7 Nov – Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengarahkan bekas Exco Johor Datuk Abd Latif Bandi, anak lelakinya dan seorang perunding hartanah membela diri terhadap 37 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan RM35.7 juta, empat tahun lepas.

Hakim Datuk Abu Bakar Katar memutuskan Mahkamah Sesyen telah terkhilaf dalam keputusannya dua tahun lalu yang melepas dan membebaskan Abd Latif, 55, anaknya Ahmad Fauzan Hatim, 29, dan perunding hartanah Amir Shariffuddin Abd Raub, 48.

Timbalan Pengarah I, Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata mahkamah membenarkan ketiga-tiga tertuduh diikat jamin RM1.1 juta dengan cagaran tanah bagi kesemua pertuduhan.

“Hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa keputusan Hakim Mahkamah Sesyen adalah salah kerana tidak mempertimbangkan banyak isu penting dalam kes tersebut.

“Mahkamah juga memutuskan bahawa kesemua elemen telah dibuktikan secara prima facie dan mahkamah menetapkan 14 Nov ini untuk sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen,” katanya kepada pemberita di luar mahkamah di sini, hari ini.

Barisan pendakwaan diketuai Wan Shaharuddin dan pembelaan diketuai Peguam Datuk Salehuddin Saidin.

Pihak media tidak dibenarkan memasuki mahkamah bagi mengikuti prosiding atas arahan mahkamah kecuali keluarga terdekat ketiga-tiga tertuduh.

Pada 14 Jun 2017, ketiga-tiga tertuduh didakwa atas 33 pertuduhan rasuah dan empat pertuduhan melibatkan pengubahan wang haram, kesemuanya berjumlah RM35.7 juta.

Hakim Mahkamah Sesyen Kamarudin Kamsun pada 21 April 2019 membuat keputusan melepas dan membebaskan Abd Latif, Ahmad Fauzan Hatim dan Amir Shariffuddin, setelah pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap ketiga-tiga tertuduh.

Ketiga-tiga mereka menghadapi pertuduhan membabitkan rasuah mengikut Seksyen 28 (1) (C) Akta SPRM 2009 yang dibaca bersama Seksyen 16(a)(B).

Mereka turut didakwa mengikut Seksyen 32(8)(c) dan Seksyen 89 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

555
Kongsi :
Previous post Penyokong tidak dibenar hadir ke pusat penamaan calon esok – SPR
Next post 28 Pusat Penamaan Calon dibuka, perhimpunan, perarakan penyokong dilarang
Ubah saiz-+=