Penyokong tidak dibenar hadir ke pusat penamaan calon esok – SPR

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

MELAKA 7 Nov – Para penyokong calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak dibenarkan hadir ke pusat penamaan calon esok, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, aktiviti berkumpul atau perarakan oleh penyokong calon bertanding juga adalah tidak dibenarkan sama sekali di mana-mana tempat sepanjang hari penamaan itu.

Jelasnya, bagi penamaan calon esok, hanya calon, pencadang calon dan penyokong calon sahaja dibenarkan masuk ke pusat penamaan.

“SPR berharap agar proses penamaan calon berjalan lancar tanpa apa-apa insiden tidak baik, khususnya yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

“SPR menyeru kepada semua calon dan parti-parti politik yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan yang dikeluarkan oleh SPR, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada Hari Penamaan Calon,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan kertas penamaan calon bagi PRN Melaka boleh dikemukakan bermula dari jam 9 hingga 10 pagi kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya di 28 Pusat Penamaan Calon yang telah ditetapkan.

Katanya, hanya calon, pencadang dan penyokong atau mana-mana dua orang atau seorang daripada itu sahaja yang diperkenan menyerahkan kertas penamaan itu.

Katanya lagi, bagi memudahkan proses penamaan calon, SPR turut menyeru kepada bakal-bakal calon yang ingin bertanding agar mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Melaka.

Selain itu, ujarnya, bakal-bakal calon juga disarankan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal dan perlu membawa resit pembayaran pada hari penamaan.

“Ini adalah bertujuan untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

558
Kongsi :
Previous post Sulaiman dengar isi hati penduduk Lendu
Next post Mahkamah arah Abd Latif Bandi, anak bela diri tuduhan rasuah RM35.7 juta
Ubah saiz-+=