28 Pusat Penamaan Calon dibuka, perhimpunan, perarakan penyokong dilarang

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

MELAKA, 7 Nov (Bernama) — Aktiviti berkumpul dan perarakan oleh penyokong parti politik bertanding di mana-mana pusat penamaan calon sepanjang tempoh penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka esok, adalah tidak dibenarkan.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak berkata hanya calon, pencadang calon dan penyokong calon dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon.

“Penyokong-penyokong parti politik yang diwakili oleh bakal-bakal calon tidak dibenarkan hadir ke pusat penamaan calon,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ikmalrudin berkata calon, pencadang dan penyokong atau mana-mana dua daripada mereka, atau mana-mana seorang daripada mereka boleh mengemukakan kertas penamaan calon bermula 9 hingga 10 pagi kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya di 28 pusat penamaan calon.

Katanya, bagi calon yang mewakili mana-mana parti politik, adalah diingatkan bahawa surat kebenaran untuk menggunakan simbol parti yang diwakili hendaklah dikemukakan semasa menyerahkan kertas penamaan calon.

Beliau juga berkata bagi memudahkan proses penamaan calon, bakal calon yang ingin bertanding juga diingatkan agar mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang tersebut dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Melaka sebelum hari penamaan calon esok.

“Selain itu bakal-bakal calon juga disarankan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal. Perlu diingatkan bahawa resit pembayaran tersebut hendaklah dibawa pada hari penamaan calon sebagai bukti bayaran.

“Ini bertujuan untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar,” katanya.

Sementara itu, SPR juga menyeru semua calon terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tataetika dan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh SPR, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan pada hari tersebut.

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal pada 16 Nov, ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri pada 4 Okt lepas susulan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

382
Kongsi :
Previous post Mahkamah arah Abd Latif Bandi, anak bela diri tuduhan rasuah RM35.7 juta
Next post Norhizam yakin menang bertanding Bebas
Ubah saiz-+=