
MAHU RAKYAT JADI PEMILIK TANAH DI NEGERI SENDIRI – KM
REMBIA 15 Ogos – Sebanyak 96 Permohonan Tanah Kerajaan (PTK) bagi Daerah Alor Gajah telah diluluskan dengan Notis 5A dikeluarkan Pentadbir Tanah sepanjang tahun ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Mengulas lanjut Ketua Menteri berkata, kerajaan memudahkan urusan PTK dan inisiatif itu dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan lebih ramai orang Melaka menjadi pemilik tanah di negeri sendiri dan bukannya sebagai penyewa.
Katanya, Kerajaan Negeri juga mengenakan kadar premium tanah jauh lebih rendah kepada penerima surat kelulusan PTK dan Notis 5A berbanding harga pasaran yang dianggarkan mencecah ratusan ribu ringgit.
“Tetapi di Melaka, penerima hanya membayar antara RM9,000 hingga RM25,000 sahaja bergantung kepada keluasan tanah. Pada majlis kali ini seramai 47 orang menerima surat kelulusan, sementara itu baki akan diserahkan secara berperingkat.
“Malah, pada tahun ini juga Kerajaan Negeri memperkenalkan diskaun khas lima peratus kepada penerima Notis 5A melunaskan bayaran dalam tempoh tiga bulan, dengan syarat tiada permohonan lanjutan tempoh atau rayuan pengurangan bayaran premium,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Kelulusan PTK sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Rembia di Dewan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), di sini, hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Penyelaras DUN Rembia merangkap Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco, Timbalan Exco serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, pemberian surat kelulusan itu bukan sahaja meringankan beban penerima, malah menjadi bukti kukuh bahawa Kerajaan Negeri sentiasa mendahulukan rakyat.
“Saya percaya tidak semua negeri berani menawarkan kemudahan seperti ini. Tetapi di Melaka, kita berani laksanakan kerana mahu rakyat menjadi pemilik tanah, bukan sekadar penyewa di negeri sendiri.
“Saya mahu rakyat negeri ini menikmati manfaat, bukan sekadar tinggal di bumi Melaka, tetapi menjadi pemilik sah tanah di bumi bertuah ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.