MAIM peruntuk RM13 juta bantu mualaf

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

BANDA HILIR 5 Februari – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) memperuntukan lebih RM13 juta khusus buat bantuan kebajikan kepada golongan mualaf sepanjang tahun ini.

Timbalan Pengerusi MAIM, Datuk Wira Md Rawi Mahmud berkata, peruntukan tersebut meningkat sebanyak RM5 juta jika dibandingkan pada tahun lalu iaitu sejumlah RM8 juta.

Katanya, peruntukan itu merangkumi bantuan kebajikan, bantuan makanan secara bulanan, bantuan anak-anak mualaf, bantuan sara diri bulanan, bantuan perubatan dan pelbagai lagi.

Jelasnya, peningkatan peruntukan itu seiring dengan kenaikan kos sara diri dan kenaikan harga barangan di pasaran.

“Peningkatan dari RM8 juta pada tahun lepas ke RM13 juta tahun ini kepada golongan mualaf berdaftar di Melaka ini mengambil kira beberapa bantuan yang ditingkatkan jumlahnya seiring dengan kos sara diri makin tinggi.

“Misalnya, bantuan makanan setiap bulan dari RM200 ditingkatkan kepada RM250 setiap bulan, elaun sara diri anak-anak mualaf di pusat pengajian tinggi dari RM400 kepada RM600 setiap bulan.

“Dan setakat ini jumlah mualaf yang berada di Melaka sejak tahun 2010 hingga 2022 adalah seramai 2,483 orang daripada pelbagai kaum,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Apresiasi Mualaf Negeri Melaka di sebuah hotel di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha MAIM, Muhammad Ikram Ibrahim; Pengurus Baitulmal MAIM, Hairulamin Mohd Sis dan Penolong Setiausaha Bahagian Balai Islam, Nasir Wahab.

Pada majlis tersebut, seramai 126 pelajar Kelas Fardhu Ain Mualaf (KAFAF) dari pelbagai tahap telah diraikan susulan kejayaan mereka mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan lalu dan berpindah tahap.

Mengulas lanjut, Md Rawi berkata menerusi Balai Islam Melaka, sebanyak 18 kelas KAFAF pelbagai tahap telah diwujudkan di 18 lokasi seluruh negeri.

Jelasnya, kelas KAFAF itu diwujudkan bergantung kepada bilangan mualaf mengikut lokasi.

“Mengikut daerah, dalam Daerah Melaka Tengah seramai 205 pelajar mualaf, Alor Gajah 30 pelajar dan Jasin seramai 70 pelajar,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1749
Kongsi :
Previous post ‘Stairway To Heaven’ gamit pelancong ke Pengkalan Balak
Next post Mualaf di Melaka meningkat
Ubah saiz-+=