Sorting by

×

MAIM PERUNTUK RM50,000 SUMBANG KOMPUTER RIBA UNTUK PELAJAR ASNAF

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

PENGKALAN BATU 18 September – Seramai 25 pelajar dalam kalangan asnaf, fakir dan miskin menerima sumbangan komputer riba bernilai RM50,000 daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Pengurus Baitulmal MAIM, Mohd Hairulamin Mohd Sis berkata, sumbangan julung kali itu adalah antara inisiatif untuk membantu pembelajaran anak-anak asnaf khususnya yang sedang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mahupun swasta.

“Untuk sumbangan kali ini seramai 25 pelajar yang baru menerima tawaran dan sedang menyambung pelajaran terpilih menerima sebuah komputer riba berharga RM2,000 setiap satu.

“Sumbangan secara fizikal berbentuk komputer riba ini pertama kali dibuat yang mana sebelum ini sumbangan diberikan secara tunai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bantuan Laptop Untuk Asnaf, Fakir Dan Miskin MAIM 2025, di Pusat Islam, di sini, hari ini.

Terdahulu sumbangan komputer riba itu telah disampaikan oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas MAIM, Datuk Wira Md Rawi Mahmud dan turut dihadiri Penolong Setiausaha Bahagian Balai Islam Kompleks Darul Huda MAIM, Mohd Nasir Wahab.

Mohd Hairulamin berkata, pemberian sumbangan itu adalah antara satu daripada enam kluster bantuan yang disediakan bagi membantu meningkatkan kecemerlangan akademik pelajar asnaf.

“Penerima yang layak dipilih melalui proses saringan mengikut syarat ditetapkan selain turut mengambil kira tahap kecemerlangan akademik.

“Sudah pasti dari semasa ke semasa di pihak MAIM kami sentiasa melakukan penambahbaikan termasuk memastikan jumlah penerima sumbangan juga akan meningkat seiring dengan jumlah peningkatan pembayaran zakat diterima,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

523
Kongsi :
Previous post LEBIH 600 ANGGOTA PDRM BERTUGAS PADA WTD, WTC 2025
Next post LELAKI BARING ATAS JALAN MAUT DIGILIS LORI