
MAIM SEDIA SUMBANGAN UNTUK MUALAF MELAKA TUNAI HAJI
KESIDANG 17 April – Mualaf di Negeri Melaka yang terpilih menunaikan ibadah haji pada tahun ini dipelawa memohon Sumbangan Menunaikan Fardu Haji Mualaf Negeri Melaka 2025 yang disediakan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).
MAIM dalam satu kenyataan memaklumkan, mualaf yang layak hanya perlu mengemukakan beberapa dokumen lengkap dan diserahkan ke Kompleks Darul Huda Bahagian Balai Islam MAIM.
Jelas kenyataan tersebut, antara dokumen yang diperlukan adalah surat permohonan, salinan kad pengenalan, salinan kad atau sijil pemelukan Islam berdaftar, salinan akaun bank dan salinan surat tawarab menunaikan fardu haji serta surat setuju terima.
“Antara syarat permohonan adalah pemohon mestilah warganegara Malaysia dan berdaftar sebagai mualaf di bawah mana-mana Majlis Agama Islam Negeri secara sah.
“Selain itu, pemohon juga hendaklah bermastautin sekurang-kurangnya dua tahun di Melaka (disahkan oleh imam masjid kariah masing-masing) dan merupakan panggilan haji pertama serta panggilan haji pada tahun ini (2025) sahaja.
“Tarikh tutup permohonan adalah pada 30 April 2025,” kata kenyataan tersebut.
Untuk maklumat lanjut, pemohon atau ahli keluarga pemohon boleh menghubungi Unit Pendidikan dan Dakwah Bahagian Balai Islam MAIM di talian 06-3372873.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.