Majikan wajib iklankan jawatan kosong dalam portal Myfuturejobs

Masa Membaca:58 Saat

PUTRAJAYA, 14 Jan – Majikan wajib membuat iklan kekosongan jawatan melalui portal MYFutureJobs untuk memastikan peluang pekerjaan yang ada dalam pasaran ditawarkan kepada pekerja tempatan sebelum kekosongan itu diisi oleh pekerja asing.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata kewajipan majikan untuk mengiklankan kekosongan jawatan sekurang-kurangnya selama 30 hari dalam portal MYFutureJobs di bawah Kementerian Sumber Manusia itu, bermula pada 1 Jan tahun lepas.

Katanya, sejak kebelakangan ini sering dibangkitkan isu-isu mengenai kekurangan tenaga kerja dalam sektor-sektor pekerjaan terutamanya yang berkaitan dengan 3D (kotor, bahaya dan sukar) dan kekosongan dalam sektor itu sering diisi oleh pekerja asing ekoran tiada pekerja tempatan yang berminat.

“Kerajaan prihatin dengan kekangan yang dihadapi oleh majikan yang terlibat dalam sektor pekerjaan 3D ini. Oleh yang demikian, Kabinet telah bersetuju untuk membenarkan pengambilan pekerja warga asing dalam semua sektor yang dibenarkan pada 10 Disember 2021,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Saravanan berkata semua sektor yang dibenarkan bagi penggajian pekerja asing adalah pertanian, perkilangan, perkhidmatan, perlombongan dan kuari, pembinaan dan pekhidmat domestik, bagaimanapun beliau menggalakkan supaya kekosongan yang ada diisi oleh pekerja tempatan. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1350
Kongsi :
Previous post Dua PPV Integrasi Kuala Lumpur beroperasi mulai esok
Next post Dua kilang gula tempatan dijadikan stok penimbal gula putih
Ubah saiz-+=