Dua kilang gula tempatan dijadikan stok penimbal gula putih

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

PUTRAJAYA, 14 Jan – Dua kilang memproses gula tempatan dijadikan stok penimbal gula putih bertapis sejak awal tahun ini bagi mengelak masalah bekalan gula di pasaran pada masa hadapan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata dua kilang tersebut adalah Central Sugar Refinery Sdn Bhd (CSR) dan MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM).

“Keputusan ini dibuat setelah negara mengalami isu perbekalan gula ekoran daripada pelbagai faktor seperti penutupan kilang, jangkitan COVID-19 terhadap pekerja kilang, kerosakan kepada mesin boiler dan lain-lain lagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selaras dengan Peraturan 12A, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, CSR dan MSM telah diarahkan untuk melaksanakan stok penimbal berjumlah 53,000 tan metrik (MT) bagi gula putih bertapis pada setiap masa.

“Ia hanya digunakan apabila berlaku kekurangan bekalan di sesuatu kawasan selaras dengan Arahan Pengawal Bekalan,” kata Nanta.

Menurutnya, mekanisme kawalan stok penimbal memerlukan CSM dan MSM memastikan kuantiti gula pasir putih bertapis disimpan secara stok terapung pada kadar yang ditetapkan selama 11 hingga 15 hari.

Beliau berkata pemantauan berterusan akan dilakukan berdasarkan pelaporan yang dikemukakan oleh pengilang bagi memastikan kuantiti stok simpanan sentiasa berada pada kadar yang ditetapkan.

“Kegagalan mematuhi arahan boleh menyebabkan tindakan dikenakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Sehingga kini, Nanta berkata laporan mingguan pengeluaran gula yang diterima daripada empat kilang gula menunjukkan trend pengeluaran gula yang sama.

“Namun, sebagai langkah proaktif, KPDNHEP telah merangka strategi bagi memastikan pengeluaran dan bekalan gula dalam pasaran domestik tidak terjejas,” katanya.

Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan, beliau berkata penggunaan gula domestik dianggarkan sebanyak 0.65 kilogram (kg) sebulan per kapita dan jumlah tahunan yang diperlukan dianggarkan sebanyak 255,450 MT setahun bagi keperluan 32.75 juta rakyat Malaysia.

“Bagi pengeluaran kedua-dua syarikat pengilang gula adalah sebanyak 1,500,000 MT setahun mencukupi untuk kegunaan rakyat Malaysia dan kegunaan industri di negara ini,” katanya.

Bagi memastikan bekalan gula dalam pasaran domestik sentiasa mencukupi, Nanta berkata sesi libat urus diadakan dengan CSR dan MSM untuk mengelakkan kejadian kekurangan bekalan gula dalam pasaran berlaku lagi pada masa hadapan.

“Pelaksanaan stok simpanan ini dijangka dapat membantu untuk mengelakkan gangguan terhadap bekalan gula berlaku pada masa akan datang.

“Ia sekali gus dapat mengelakkan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan menaikkan harga dan menyimpan stok gula ketika berlaku krisis gangguan gula,” katanya. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1959
Kongsi :
Previous post Majikan wajib iklankan jawatan kosong dalam portal Myfuturejobs
Next post Jumlah mangsa banjir di Johor menurun kepada 95 orang
Ubah saiz-+=