Sorting by

×

Mak Jah jadi saksi kemajuan Pengkalan Balak sejak 25 tahun lalu

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

TANJUNG BIDARA 11 Jun – Seorang peniaga warung makan di pantai peranginan Pengkalan Balak, di sini bersyukur dengan peningkatan pelancong yang disaksikannya sejak 25 tahun lalu.

Tempoh lebih dua dekad berniaga di pantai itu memberi peluang kepada Khatijah Kassim, 58, menyaksikan perubahan pesat kawasan peranginan itu.

Daripada pantai yang bilangan pengunjungnya boleh dikira dengan jari hinggalah pantai yang dipenuhi dengan ribuan pelancong, terutama pada hujung minggu, Khatijah tidak pernah letih untuk melayan pelanggan.

Jika sebelum ini pantai berkenaan hanya dikunjungi pelancong yang menginap di kira-kira 10 chalet selama satu atau dua malam, kini pantai itu dibanjiri pelancong yang bebas memilih untuk menginap di lebih 100 chalet selama lebih dua malam.

Khatijah yang lebih dikenali dengan panggilan Mak Jah berkata, 25 tahun lalu dia hanya berniaga dengan menyediakan warung papan yang dipenuhi bangku kayu panjang, kini segala-galanya sudah jauh berubah.

“Pantai ini mula maju sekitar hujung 1990-an apabila semakin ramai penduduk tempatan dan orang yang ada duit dari Kuala Lumpur membina chalet.

“Alhamdulillah, dari setahun ke setahun, orang semakin ramai datang untuk berkelah dan menginap di chalet, menjadikan warung saya tidak putus dengan pelanggan,” katanya ketika ditemui di warungnya di pantai berkenaan hari ini.

Mak Jah berkata, dia dan suami, Zainal Ali, 63, mengambil keputusan membina warung baharu yang lebih kukuh hinggakan mereka tidak menang tangan menerima kunjungan pelancong.

“Pelanggan gembira menikmati juadah di tepi pantai sambil menikmati pemandangan indah ketika matahari terbenam dan begitu juga dengan pengunjung yang hadir semata-mata untuk mandi manda bersama anggota keluarga,” katanya.

WARUNG makan Mak Jah di pantai peranginan Pengkalan Balak, Masjid Tanah menyediakan pemandangan indah waktu senja.

Sementara itu, pelanggan Kamariah Mat Dali, 47, dari Segamat, Johor berkata dia dan tiga anggota keluarga pernah menginap di chalet dan menikmati makanan serta minuman di warung Mak Jah empat tahun lalu.

“Waktu itu warung ini hanya diperbuat daripada papan dan apabila sekali lagi hadir di sini hari ini, saya terkejut melihat perubahan warung diperbuat daripada tiang konkrit dan lantai simen,” katanya.

Dia berkata, selain menikmati juadah dengan selesa di warung itu, dia juga terhibur menyaksikan aksi orang ramai mandi-manda dan pemandangan indah pada waktu senja.

Katanya, perkampungan nelayan di pantai berkenaan menyajikan suasana menarik yang menghiburkan pengunjung, terutama mereka yang tinggal di kota.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2971
Kongsi :
Previous post Penganjur siasat punca keracunan pemain badminton M’sia, Thailand di Indonesia Masters
Next post Polis cari saksi kemalangan maut di NKVE
Ubah saiz-+=