Polis cari saksi kemalangan maut di NKVE

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

SHAH ALAM, 11 Jun – Polis meminta orang awam yang mempunyai maklumat insiden kemalangan yang menyebabkan empat maut di susur keluar arah Subang menghala Kelana Jaya di Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) awal pagi tadi, agar tampil membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata mereka boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam Inspektor Muhammad Hanif Sukri di talian 014-8066744.

“Kesemua mayat dibawa ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat. Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca dan sebab kematian. Kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan.

Media pagi tadi melaporkan empat termasuk dua wanita maut manakala seorang lelaki cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua kereta di susur keluar arah Subang menghala Kelana Jaya di Lebuh NKVE, awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata bertindak atas panggilan yang terima pada pukul 4.11 pagi tadi, pihaknya mengenal pasti mangsa yang maut sebagai P. Puvaaneshwaran, 28; Lai Mun Fai, 28; Eng Siew Hooi, 31 dan Leong i Man Yuen, 27 manakala mangsa yang parah dikenali sebagai Heng Chan Yee, 28. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

965
Kongsi :
Previous post Mak Jah jadi saksi kemajuan Pengkalan Balak sejak 25 tahun lalu
Next post Tanam 400 anak pokok bakau kurap, pulihkan kehijauan Tanjung Tuan
Ubah saiz-+=