
MALAM LESTARI SENI ACARA KEMUNCAK FSSSM 2025
BANDARAYA MELAKA 24 Oktober – Acara kemuncak Festival Seni Selat Melaka X Festival Sungai Melaka (FSSSM) 2025, iaitu Malam Lestari Seni menampilkan gabungan artis popular dan persembahan eksklusif yang menjanjikan pengalaman luar biasa kepada pengunjung singgah ke di Dataran Pengkalan Rama, jam 8 malam esok (25 Oktober).
Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka, Ezlina Alias berkata antara barisan artis bakal menghiburkan penonton adalah Azlan Typewriter, Aishah Retno, Raja Syair Nusantara Roslan Madun dan Datuk Syafinaz Selamat.
Katanya, malam berprestij itu turut menampilkan dua persembahan khas hasil rekaan Fakulti Tari Akademi Seni Budaya dan Warisan (ASWARA) iaitu Zapin Kuis dan Zapin Susur Galur, belum pernah dipertontonkan di mana-mana pentas sebelum ini.
“Lebih istimewa, persembahan medley lagu Dondang Sayang dan lagu-lagu Melayu klasik bakal dibawakan dengan gaya baharu hasil ciptaan pensyarah ASWARA, Dr. Noor Azura, sebagai percubaan eksperimental untuk memberi nafas segar kepada irama tradisional.
“Kita tidak mematikan yang lama, sebaliknya memperbaharuinya agar terus relevan dan dihargai. Itulah semangat FSSSM 2025 iaitu meraikan warisan dengan cara yang segar dan menyatukan masyarakat,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui selepas Podcast Seni Selat Melaka sempena FSSSM 2025 di Dataran Pengkalan Rama.
Mengulas lanjut, Ezlina berkata festival itu dijangka menarik ribuan pengunjung yang ingin menyaksikan sendiri keindahan seni budaya tempatan yang digarap secara moden tanpa menghilangkan nilai tradisinya.
“Kita harap orang ramai dapat memeriahkan tiga hari penganjuran FSSSM 2025 bermula 24 hingga 26 Oktober di Perkarangan Pejabat Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) dengan lebih 30 acara menarik yang diadakan sesuai untuk semua lingkungan usia,” jelasnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

