Sorting by

×

Malaysia-Vietnam tingkat kerjasama dua hala diplomatik, undang-undang, buruh, berita

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

HANOI, 21 Mac – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatnya dari Vietnam Pham Minh Chinh hari ini menjadi saksi kepada usaha-usaha meningkatkan kerjasama dua hala dalam latihan diplomatik, aktiviti perundangan, perburuhan dan pertukaran berita antara dua negara.

Kedua-dua pemimpin berkenaan menyaksikan pertukaran dokumen-dokumen berkaitan yang ditanda tangani sebelum ini, dalam majlis khas yang berlangsung di Pejabat Kerajaan di sini.

Pada majlis itu Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Saifuddin Abdullah bertukar dokumen surat niat berhubung kerjasama dalam latihan diplomatik dengan rakan sejawatannya dari Vietnam Bui Thanh Son, manakala kerjasama perburuhan, pengambilan serta penghantaran pulang pekerja melibatkan pertukaran dokumen dengan menteri negara itu, Dao Ngoc Dung.

Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun pula saling bertukar dokumen yang berkaitan aktiviti kerjasama perundangan dengan Menteri Keadilan Vietnam Le Thanh Long,

Sementara itu Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) Khairdzir Md Yunus dan “General Director” Agensi Berita Vietnam (VNA) Vu Viet Trang turut bertukar dokumen mengenai perjanjian kerjasama profesional berkaitan pertukaran berita, gambar, kepakaran teknikal dan latihan ke dalam program kerjasama mereka.

Terdahulu kedua-dua pemimpin dan delegasi dari kedua-dua negara berbincang mengenai pelbagai kerjasama, antaranya dalam bidang ekonomi dan perdagangan, isu serantau dan antarabangsa, bagi meningkatkan perhubungan dua hala.

Perdana Menteri menggunakan sepenuhnya bahasa kebangsaan sepanjang mesyuarat yang berlangsung hampir dua jam itu yang yang kemudiannya diterjemah ke dalam Bahasa Inggeris.

Selepas itu kedua-dua-dua pemimpin bersama delegasi, menghadiri majlis makan tengah hari rasmi yang dihoskan oleh Chinh di bangunan Pejabat Kerajaan.

Pagi tadi Perdana Menteri yang dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Vietnam, disambut dengan hamparan permaidani merah dan diberikan sambutan rasmi sebaik tiba di perkarangan Istana Presiden di sini, dan ketibaan beliau disambut oleh Chinh.

Pada sebelah petang, Perdana Menteri dijadualkan mengadakan perjumpaan dengan Presiden Vietnam Nguyen Xuan Phuc, diikuti perjumpaan dengan Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam Nguyen Phu Trong, dan kemudiannya bertemu Pengerusi Dewan Rakyat (Chairman of the National Assembly)  Vuong Dinh Hue.

Kunjungan sulung Perdana Menteri ke Vietnam ini adalah atas undangan Chinh.

Ismail Sabri yang tiba semalam dijadualkan berlepas pulang ke Kuala Lumpur pagi Selasa selepas mengadakan persidangan media dengan media Malaysia. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

529
Kongsi :
Previous post Melaka laksana tindakan bersepadu bendung wanita jadi mangsa jenayah
Next post Ibu bapa bimbang, tapi pelajaran perlu diutamakan
Ubah saiz-+=