Melaka laksana tindakan bersepadu bendung wanita jadi mangsa jenayah

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

BANDAR HILIR 21 Mac – “Tiada jalan singkat bagi menangani masalah jenayah namun tindakan bersepadu dan berterusan dari setiap lapisan komuniti dapat membendung wanita daripada menjadi mangsa jenayah,” itu tegas Pemangku Ketua Polis Melaka Datuk Razali Abu Samah.

Beliau berkata, kejadian jenayah antaranya dadah dan komersil termasuk keganasan rumah tangga yang membabitkan wanita menimbulkan kebimbangan dalam kalangan komuniti.

Ujar Razali, bagi mencegah dan memastikan keselamatan wanita di negeri ini Polis Kontinjen Melaka sentiasa meningkatkan aspek penguatkuasaan, tangkapan serta pertuduhan ke atas penjenayah yang terbabit malah ia turut dibantu dengan rondaan unit kereta peronda polis (MPV), Unit ROndaan Bermotosikal serta AMANITA.

“Kita juga turut melaksanakan pendekatan proaktif dengan memberi khidmat nasihat pencegahan jenayah, penerimaan maklumat dan lawatan kepada mangsa jenayah ini.

“Malah pelaksanaan dan tindakan penguatkuasaan sahaja tidak cukup untuk membendung dari berlakunya jenayah membabitkan wanita dan dalam mewujudkan suasana aman, selamat serta sejahtera ia memerlukan komitmen dan juga usaha bersepadu dari setiap lapisan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucapa pada Program Wanita Bersatu Mencegah Jenayah Peringkat Melaka yang turut dihadiri Exco Wanita Datuk Kalsom Nordin, hari ini.

Menurut beliau, sinergi dan kerjasama lebih kukuh serta bersepadu antara pihak polis bersama masyarakat dalam usaha mengenal pasti masalah dapat membentuk mekanisme yang sesuai dalam mengatasi masalah ini.

“Peranan untuk menegur, melaporkan serta mencegah akan membantu dalam usaha ini selain kami percaya sikap keprihatinan dan juga kerjasama golongan wanita dalam isu keselamatan dan jenayah dapat membentuk persekitaran yang harmoni dalam komuniti.

“Selain itu golongan wanita terutamanya suri rumah merupakan mata dan telinga terbaik untuk membantu menyalurkan maklumat kepada polis mengenai kejadian jenayah serta keselamatan yang berlaku di kawasan kejiranan mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1030
Kongsi :
Previous post Dua bot karam, empat nelayan hilang
Next post Malaysia-Vietnam tingkat kerjasama dua hala diplomatik, undang-undang, buruh, berita
Ubah saiz-+=