Ibu bapa bimbang, tapi pelajaran perlu diutamakan

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

PAYA RUMPUT 21 Mac – Meskipun bimbang terhadap situasi terkini kes COVID-19 yang masih tinggi saban hari, rata-rata ibu bapa tetap yakin dengan pengurusan sekolah dalam menjamin keselamatan anak mereka.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) di Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Rumput hari ini mendapati, rata-rata ibu bapa menghantar anak mereka yang memasuki Tahun Satu dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang tinggi.

Turut kelihatan, pihak guru menyambut kehadiran murid di pintu pagar sekolah dengan ceria bagi memastikan SOP seperti mendaftar kemasukan menerusi aplikasi MySejahtera, semak suhu badan dan pemakaian pelitup muka dipatuhi.

Ibu kepada murid Tahun Satu, Shasha Nurhusna Kasim, 37, berkata dia sentiasa mengingatkan anak lelakinya untuk mengamalkan SOP dan penjarakan fizikal sepanjang berada di sekolah.

“Saya yakin sesi persekolahan akan berjalan baik dengan bantuan guru meskipun kita masih dalam fasa pandemik.

“Saya tidak nafikan memang sangat bimbang kerana kes saban hari tinggi, namun pelajaran amat penting selain kesihatan,” katanya.

Bapa kepada empat anak, Mohd Lokman Muhammad, 44, turut menyuarakan kebimbangan berikutan situasi kes COVID-19 masih tinggi pada ketika ini.

Namun, dia yakin pihak sekolah dapat membantu memantau murid sepanjang berada di sekolah, selain berharap anaknya dilindungi.

“Sebagai bapa, saya sentiasa ingatkan dia untuk kerap cuci tangan, pakai pelitup muka, jaga jarak tetap ikut SOP.

“Lagipun saya yakin pihak sekolah dan guru sudah ada untuk membantu dalam memantau murid-murid di sekolah dan saya berdoa semoga anak saya dilindungi,” katanya.

Suri rumah, Mazliana Mohd Akhiar, 45, berkata, dia sudah membuat persediaan awal sejak pertengahan tahun lalu untuk memastikan anaknya bersedia untuk memasuki Tahun 1 di sekolah dengan mematuhi SOP ditetapkan.

“Anak saya bangun awal hari ini kerana teruja, saya pun bangun awal untuk menyiapkan bekal bagi memastikan dia menikmati makanan bersih dan sihat pada waktu rehat.

“Saya yakin semuanya akan berjalan dengan lancar, saya harap anak saya dapat pelajari banyak perkara yang ibu bapa tidak dapat ajar seperti di sekolah,” katanya.

Penggal Satu Sesi Persekolahan 2022/2023 bermula serentak seluruh negara hari ini dengan membabitkan murid prasekolah dan Tahun Satu hingga Enam.

Melaka mencatatkan seramai 84,619 murid sekolah rendah dengan bilangan 238 buah sekolah yang memulakan operasi hari ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

814
Kongsi :
Previous post Malaysia-Vietnam tingkat kerjasama dua hala diplomatik, undang-undang, buruh, berita
Next post GiatMara tawar kursus TVET untuk murid 12-16 tahun – Mahdzir
Ubah saiz-+=