Mangsa kebakaran sebak terima rumah percuma
LENDU 12 Februari – “Alhamdulillah, saya bersyukur sangat dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali kerana saya tidak percaya dan tak mampu meluahkan dengan kata-kata selepas menerima rumah baharu,” kata Maznah Abd Rahim.
Maznah, 63 yang sebelum ini tinggal sehelai sepinggang selepas rumah pusakanya hangus dijilat api dalam kejadian Oktober tahun lalu kelihatan sebak apabila nasib malangnya sekeluarga mendapat perhatian Kerajaan Negeri.
“Kejadian sekitar jam 10 pagi pada 27 Oktober tahun lalu saya tinggal seorang di rumah dan sedang menyapu sampah di halaman rumah tiba-tiba terlihat kepulan asap dari bilik atas rumah.
‘Saya terus naik ke atas rumah terkejut melihat api dan asap mula meletup-letup pada suis utama rumah membuatkan kebakaran rumah Melaka yang saya diami hampir 20 tahun cepat merebak ke bilik lain, sebab rumah itu diperbuat daripada papan kayu.
“Saya tak mampu nak selamatkan semua benda cuma yang terselamat hanyalah kereta sebab anak saya bawa kenderaan itu ke tempat kerja,” katanya.
Maznah berkata, disebabkan kejadian itu dia terpaksa menumpang di rumah ibu saudaranya di sebelah rumah hampir dua bulan sementara menunggu rumah baharu disiapkan menerusi Program Melaka Rumahku.
“Banyak kenangan manis yang tak mampu saya lupakan antaranya sewaktu arwah suami saya sakit akibat kanser, rumah itulah menjadi tempat kami berteduh dan merawatnya sebelum menghembuskan nafas terakhir.
“Kali ini rumah baharu yang diterima umpama syurga baharu buat saya namun syurga yang hilang sebelum ini tidak mampu saya lupakan sebab banyak kenangan saya bersama suami dan anak ketika menetap di sini.
“Alhamdulillah, saya tak mampu berkata apa-apa sebab sangat seronok menerima bantuan segera daripada Kerajaan Negeri, terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak terlibat yang bertungkus lumus membantu saya,” katanya.
Terdahulu, Maznah menerima replika kunci rumah daripada Sulaiman pada Majlis Pelancaran dan Penyerahan Kunci Rumah Program Melaka Rumahku, di Kampung Durian Daun, di sini, hari ini.
Menerusi bantuan itu, Maznah menerima sebuah rumah percuma hasil inisiatif Kerajaan Negeri di bawah kelolaan Lembaga Perumahan Melaka (LPM) dengan nilai peruntukan sebanyak RM50,000 dilengkapi ruang tamu, dapur dan tiga bilik tidur.
Pada program itu juga, Kerajaan Negeri turut meluluskan tiga lagi rumah yang akan menerima inisiatif sama pada tahun ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.