1,000 cef seluruh dunia bakal ‘berkampung’ di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

BANDARAYA MELAKA 12 Februari – Dianggarkan 1,000 cef dari seluruh dunia bakal berkampung di Negeri Melaka pada Jun depan bagi merebut gelaran juara kulinari.

Presiden Persatuan Chef Melaka, Rizwandy Perin berkata, pertandingan ‘Chef Culinary Chellenge’ yang bakal dianjurkan itu sekali gus mampu mempromosi juadah pelbagai etnik di negeri ini ke peringkat antarabangsa.

Jelasnya, program tiga hari itu nanti bakal membabitkan penyertaan cef dari Indonesia, Thailand, Laos, Vietnam, Singapura, Emiriah Arab Bersatu, Selatan India dan pelbagai lagi.

“Acara dianjurkan ini mampu memartabatkan profesion cef muda yang perlu diangkat selepas terjejas dengan pandemik COVID-19.

“Kali ini ia memasuki penganjuran kedua dan ini akan membantu mengangkat sektor perhotelan dan kulinari di Melaka yang merupakan antara sektor terpenting dalam industri pelancongan Melaka.

“Kita akan ketengahkan pelabagai makanan dari negeri ini yang kaya dengan pelbagai etnik antaranya masakan Baba Nyonya, Portugis serta pelbagai lagi yang akan dimartabatkan di peringkat dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Melaka Chef’s Table yang diadakan di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

IMG-20230212-WA0028
RIZWANDY

Hadir sama, Timbalan Presiden Persatuan Cef Melaka, Sabri Mahtar.

Mengulas lanjut, Rizwandy berkata, pihaknya kini sedang merangka gerak kerja menerusi jawatankuasa dilantik bagi memastikan program itu mampu menarik lebih ramai pelancong khususnya dari Asia ke Melaka tahun ini.

Beliau turut berharap Kerajaan Negeri menerusi pelbagai agensi pelancongan negeri dan persekutuan turut bekerjasama membantu persatuan itu demi memperkasa sektor pelancongan yang menjadi penyumbang utama dalam pembangunan ekonomi di Melaka.

“Kita harap Kerajaan Negeri mampu memberikan kerjasama dan peluang kepada kami sebagai pelaksana untuk memastikan hasrat memperkenalkan produk dan identiti Melaka dipromosi ke peringkat luar.

“Dalam program tiga hari diadakan itu pelbagai aktiviti menarik turut dianjurkan antaranya pameran pastri, ‘ice carving’, ‘food carving’ serta pelbagai lagi yang mampu menarik lebih ramai pengunjung pada program kali ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3716
Kongsi :
Previous post Mangsa kebakaran sebak terima rumah percuma
Next post 16 kawasan MPHTJ terjejas ribut – Sapiah
Ubah saiz-+=