Mansuh penjarakan fizikal di rumah ibadat, pematuhan SOP asas masih perlu
KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) — Aktiviti solat jemaah di masjid atau surau dan upacara sembahyang di rumah ibadat bukan Islam boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal yang diumumkan semalam, rata-rata diterima baik masyarakat.
Bagaimanapun, mereka menyarankan agar prosedur operasi standard (SOP) asas dikekalkan apabila Malaysia memasuki fasa ‘Peralihan ke Endemik’ bermula 1 April ini.
Ahli Dewan Negara Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad berkata kerjasama Pihak Berkuasa Agama Negeri untuk mengekalkan SOP asas seperti pemakaian pelitup muka dan sanitasi tangan merupakan langkah pencegahan COVID-19.
“Jika diteliti apa yang telah diamalkan di negara-negara dunia dalam kalangan negara umat Islam, usaha merapatkan saf telah pun dijalankan sebagaimana yang telah dilaksanakan di Arab Saudi baru-baru ini,” katanya dalam ciapan Twitter beliau hari ini.
Zulkifli yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata hukum penjarakan sebelum ini adalah ketika COVID-19 sedang memuncak dan kadar vaksinasi masih rendah, namun apabila keadaan sebaliknya berlaku, wajarlah hukum penjarakan ketika solat disemak semula dan dipertimbangkan untuk dimansuhkan.
Pengerusi Surau Ar-Rahmah Seksyen 8 Shah Alam, Selangor Ab Halim Ab Rahman berkata pihaknya terbuka untuk menerima aktiviti solat tanpa penjarakan fizikal, bagaimanapun ia bergantung kepada keputusan kerajaan negeri.
“(Kerajaan Persekutuan) mesti (sudah) lakukan kajian, justifikasi dan sebagainya dan kita akur. Jika kerajaan negeri buat SOP yang lebih ketat daripada yang dibenarkan iaitu penjarakan satu meter, saya tiada bantahan,” katanya kepada Bernama hari ini.
Sementara itu, Presiden Malaysia Hindu Sangam Datuk R.S. Mohan Shan berkata walaupun negara akan memasuki fasa peralihan ke endemik, adalah penting agar SOP seperti penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka terus dipatuhi.
“Sebagai presiden, saya secara peribadi ingin menasihatkan pengurusan kuil untuk terus mematuhi peraturan tertentu sebagai langkah pencegahan virus yang membawa maut ini walaupun telah lengkap vaksinasi. Kita perlu menjaga diri sendiri dahulu dan saya rasa SOP ini masih diperlukan dalam cara tertentu di kuil bagi memastikan penganut dapat melakukan ibadah mereka dengan selamat.
“Saya menyokong cadangan perdana menteri mengenai pemansuhan penjarakan fizikal bagi aktiviti di rumah ibadat, yang saya percaya keputusan itu dibuat dengan melihat kepada banyak aspek,” katanya kepada Bernama.
Presiden Kuil Sri Subramaniam Swamy Batu Gajah Dr Subramaniam Suppiah pula berkata kita tidak boleh selesa dengan peraturan baharu itu, malah perlu lebih berhati-hati dan mematuhi SOP.
“Masih ada orang yang menderita daripada virus COVID-19 ini dan saya ingin menyarankan kepada semua agar terus mengikut peraturan dan garis panduan untuk kekal selamat dan berhati-hati dengan virus ini,” katanya. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.