Hilang kawalan sebelum terjunam dari jambatan

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

KOTA LAKSAMANA 9 Mac – Lelaki warga emas maut selepas kereta dipandunya dipercayai hilang kawalan sebelum terjunam dari jambatan berketinggian kira-kira 15 meter dalam kejadian di Jalan Syed Abdul Aziz, di sini, pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 9.20 pagi itu mengakibatkan mangsa Tan Chin Chee, 76, yang memandu Toyota Vios maut dilokasi kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati terdapat dua lorong dan dua hala selain terdapat juga kesan calar diatas jalan raya.

Beliau berkata, sebelum kejadian mangsa dikatakan dalam perjalanan dari arah Kota Syahbandar menghala ke Melaka Raya.

“Hasil siasatan dilakukan mendapati mangsa disyaki hilang kawalan dari lorong kiri lalu masuk ke lorong bertentangan sehingga terjatuh ke bawah jambatan.

“Anggaran ketinggian dari jambatan Jalan Syed Abdul Aziz ke tempat kejadian kira-kira 15 meter,” katanya.

LOKASI kejadian.

Menurut beliau, mayat mangsa dibawa keluar dengan bantuan pasukan bomba sebelum dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat.

“Kenderaan mangsa turut ditahan untuk dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan selain kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1530
Kongsi :
Previous post Rangka kerja karbon sifar bersih mungkin diumum tahun ini – Mustapa
Next post Mansuh penjarakan fizikal di rumah ibadat, pematuhan SOP asas masih perlu
Ubah saiz-+=