MAPEX 2023 tawar harga rumah serendah RM136,000

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

KESIDANG 14 Julai – Ekspo Perumahan dan Hartanah Negeri Melaka (MAPEX) 2023 yang akan diadakan di Centre Court Aeon Mall Bandaraya Melaka, 18 hingga 23 Julai ini menawarkan 3,637 unit hartanah pelbagai jenis dengan tawaran harga istimewa.

Penganjur MAPEX 2023, Datuk Ngoh Chun How berkata, antara jenis kediaman yang ditawarkan pada ekspo berkenaan ialah rumah teres setingkat, teres dua tingkat, banglo, apartment, kondominium, town house dan lain-lain lagi dengan harga jualan serendah RM136,000.

Menurutnya, unit hartanah yang akan dijual pada ekspo berkenaan adalah membabitkan 1,578 unit di daerah Melaka Tengah, Jasin (1,077 unit) dan Alor Gajah (305), selain turut menampilkan 677 unit di Sepang, Selangor.

Beliau berkata, penganjuran pertama MAPEX anjuran Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Melaka tahun ini turut menawarkan beberapa insentif kepada pembeli rumah pertama, antaranya pengecualian duti setem.

“Pada pameran kali ini, kita membawakan 20 pemaju bersama beberapa agensi kerajaan dan perbankan. Secara keseluruhan, 45 projek perumahan dan komersial akan dipamerkan di bawah satu bumbung.

“Orang ramai dijemput hadir ke ekspo kali ini kerana selain pameran, terdapat pelbagai aktiviti lain disediakan antaranya pertunjukan karikatur, persembahan badut dan ‘live band’.

“Perasmian ekspo ini akan disempurnakan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin yang mewakili Ketua Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar MAPEX 2023 di Pejabat REHDA Taman Malim Jaya, di sini, yang turut dihadiri Pengerusi REHDA Melaka, Datuk Ng Choon Koon.

Sementara itu, Choon Koon berkata, REHDA Melaka menganjurkan ekspo berkenaan pada setiap tahun bertujuan membantu rakyat membuat pilihan terbaik dalam membeli rumah idaman.

Katanya, bakal pembeli tidak perlu bersusah payah untuk mendapatkan maklumat mengenai unit hartanah pilihan mereka kerana semua maklumat disediakan menerusi ekspo berkenaan.

“Kita amat menggalakkan orang ramai mengambil peluang pada ekspo kali ini untuk membeli rumah idaman mereka memandangkan harga rumah dijangka akan terus meningkat.

“Selain itu, bermula 15 Julai juga yuran guaman telah dinaikkan, namun, pada ekspo ini, pembeli akan dapat pengecualian kenaikan itu kerana semua harga telah disediakan menerusi satu pakej menarik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2248
Kongsi :
Previous post Remaja antara pengikut ajaran sesat Si Hulk di Merlimau
Next post 13 koperasi baharu ditubuhkan di Melaka
Ubah saiz-+=