Remaja antara pengikut ajaran sesat Si Hulk di Merlimau

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

AYER KEROH 14 Julai – Golongan remaja antara dikesan terjebak dengan ajaran sesat Si Hulk yang aktif di beberapa lokasi di Merlimau.

Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Wira Abdul Halim Tawil berkata, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) setakat ini masih melaksanakan pemantauan berterusan bagi mengenal pasti jejak rantaian kumpulan terbabit yang aktif menerusi pelbagai platform di media sosial dan aduan yang diterima.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah sebenar pengikut ajaran sesat terbabit namun menjelaskan ajaran sesat berkenaan masih aktif di beberapa lokasi di Melaka dan masih bersifat ‘underground’ untuk menyebarkan ajaran yang bercanggah itu.

“Ada beberapa lokasi di Merlimau jadi kita dalam pemantauan kerana ada beberapa remaja dan golongan dewasa terlibat dalam ajaran ini.

“Semua ini dalam pemantauan kita termasuk di media sosial dan laporan yang diterima daripada keluarga mereka sendiri yang melaporkan penglibatan anak-anak dan suami mereka.

“Kita sedang menyiasat rantaian (kumpulan) ini kerana ia masih aktif dan bersifat ‘underground’ dan mereka memang tidak akan menzahirkan apa-apa berkaitan kegiatan mereka tapi kita harus melihat dan menyelidik perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Melaka Munajat Bersama Tuan Guru Abdul Somad Sempena Sambutan Maal Hijrah diadakan di Dataran Sejarah Ayer Keroh, di sini malam tadi.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri menerusi Jawatankuasa Fatwa Negeri di dalam proses mewartakan ajaran berkenaan sebagai satu ajaran yang bertentangan dan bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Beliau berkata, penguatkuasaan sedang dilaksanakan menerusi JAIM dan tindakan susulan akan diambil terhadap individu yang terbabit dalam ajaran berkenaan.

“Kita akan adakan proses pemulihan untuk membetulkan mereka kembali bertaubat dan insaf daripada bercanggah dengan ajaran akidah,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki dipercayai ahli kumpulan ajaran sesat ‘Si Hulk’ atau Suhaini Bin Mohammad ditahan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di sebuah rumah di Jasin di sini 11 Jun lalu.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman dilaporkan berkata, lelaki berusia 38 tahun itu ditahan kira-kira pukul 8.30 malam di rumahnya bersama isteri dan tiga anaknya dan disyaki mempunyai lebih 20 pengikut aktif di negeri ini sejak tahun lalu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4633
Kongsi :
Previous post Jualan Madani Koperasi galak orang ramai berbelanja di koperasi
Next post MAPEX 2023 tawar harga rumah serendah RM136,000
Ubah saiz-+=