hamzah zainudin3

Masalah 200,000 warga asing tidak bekerja di Malaysia akan selesai akhir tahun ini

ISKANDAR PUTERI 29 Nov – Masalah lambakan kira-kira 200,000 warga asing tidak bekerja di negara ini yang berdaftar di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja, akan diselesaikan sebelum akhir tahun ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata kerajaan telah berbincang dengan beberapa syarikat yang menggajikan pekerja asing termasuk peladangan, untuk mengambil mereka bekerja semula.

“Keutamaan akan diberikan kepada warga asing yang telah berdaftar dan telah disenaraikan melalui program berkenaan, untuk mendapatkan pekerjaaan memandangkan mereka sudah ada di dalam negara ini.

“Sebab kalau warga asing yang baharu akan mengambil masa, yang ini mereka sudah terima vaksin cukup, boleh mula bekerja dalam masa dua minggu dari sekarang, kita akan selesaikan sebelum akhir tahun ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Projek Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri Mohd Solihan Badri dan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Hamzah berkata demikian ketika ditanya mengenai status permohonan pekerjaan kira-kira 200,000 warga asing, yang memohon untuk bekerja semula di negara ini.

Pada 2 Nov, Hamzah dilaporkan berkata 212,926 warga asing dan 11,751 majikan membuat permohonan menerusi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja, meliputi beberapa sektor antaranya perkilangan, pembinaan, pertanian serta peladangan.

Sementara itu, Hamzah berkata kerajaan sedang memperincikan permintaan syarikat kawalan keselamatan swasta di negara ini, yang memohon kebenaran untuk menggajikan pekerja dari Bangladesh, Indonesia dan Filipina selain dari Nepal.

Beliau berkata setakat ini seramai 30,000 warga asing daripada 180,000 pengawal keselamatan bertugas di negara ini merupakan warga Nepal, manakala selebihnya merupakan warga tempatan.

“Kuota dibenarkan masih kekal iaitu 80 peratus pengawal keselamatan warga tempatan dan hanya 20 peratus warga Nepal, yang mempunyai pengalaman dalam agensi keselamatan. Isunya adalah untuk menggantikan sebahagian daripada 30,000 warga Nepal yang sudah habis tempoh bekerja, kita mahu cari pengganti untuk isi kuota itu, bukan menambah.

“Sebolehnya kita mahu mengutamakan pengambilan pengawal keselamatan daripada warga tempatan, kerana jawatan itu perlu diisi individu yang mempunyai integriti dan memahami undang-undang negara,” katanya.

Terdahulu, Hamzah dalam ucapannya mencadangkan agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan satu pasukan ‘pencungkil bakat’ dalam memastikan pengambilan pegawai dan anggota agensi keselamatan itu, terdiri daripada calon terbaik di seluruh negara.

“Saya minta kalau boleh, ada pencungkil bakat diwujudkan oleh PDRM dan dimulakan di peringkat sekolah menengah. Kita mahu mereka yang benar-benar mahu menjadi polis, bukan mereka yang melihat kerjaya ini sebagai pilihan terakhir.

“Melalui pencungkil bakat ini, saya yakin pengambilan anggota boleh ditambah baik dengan mengambil kira aspek modal insan melibatkan kemahiran insani, kecerdasan emosi dan berkemahiran teknologi, ini yang kita mahu,” katanya.

Beliau turut ‘menegur’ Jabatan Kerja Raya (JKR) agar melantik syarikat kontraktor pembangunan yang benar-benar layak dan bukan lantikan daripada tindakan ‘melobi’, kerana hasil daripada tindakan itu kerap menimbulkan masalah termasuk projek kerajaan yang tertangguh sehingga gagal disiapkan.

Menurut Hamzah sebanyak lima projek pembinaan IPD sedang dijalankan di seluruh negara meliputi IPD Muallim, Perak bernilai RM85 juta; IPD Jeli, Kelantan (RM130.3 juta); IPD Lawas, Sarawak (138.07 juta); IPD Hulu Terengganu, Terengganu (RM108.88 juta) dan IPD Klang Utara, Selangor (RM159.3 juta).

“Sementara itu, pembinaan IPD Belaga, Sarawak yang bernilai RM90 juta kini sedang dalam proses dokumentasi, dijangka akan turut dimulakan dalam waktu terdekat,” katanya.-BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

64
260504513_452689059559557_8501701438720138393_n Previous post VTL udara bermula di KLIA bagi perjalanan Malaysia-Singapura
WhatsApp Image 2021-11-29 at 3.22.55 PM Next post Melaka tarik lebih ramai pelabur dalam industri aeroangkasa, minyak dan gas