Masih sukar dapatkan bekalan telur di Melaka

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

PENGKALAN BATU 28 November – Bekalan telur di Melaka masih tidak mencukupi dan sukar didapati berdasarkan tinjauan di beberapa lokasi, hari ini.

Hal itu diakui beberapa pengguna dan peniaga yang ditemui Melaka Hari Ini.

Menurut penjual kuih Rohaida Ahmad Basri, 48, disebabkan kekurangan bekalan, pendapatannya terjejas kerana terpaksa mengehadkan tempahan kuihnya setiap hari.

“Susah nak dapat bekalan telur sekarang, saya cari di kedai runcit berhampiran pun tak dapat, dekat kedai jual barang kek pun susah juga.

“Pembekal kata tiada stok, tapi kalau ada pun telur yang kualiti dah kurang baik..warna kuning dia pun dah cair,” katanya ketika ditemui di Pasar Besar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di sini, hari ini.

IMG_20221128_140639_047
HALIJAH

Halijah Ismail, 59, dari Alor Gajah turut mengakui terdapat kesukaran mendapatkan bekalan telur di pasaran sejak kebelakangan ini.

Katanya, disebabkan keluarganya amat meminati masakan berasaskan telur, adakalanya dia terpaksa mencari di seluruh pelusuk negeri untuk mendapatkan bekalan.

“Pernah makcik beli satu papan telur mencecah sehingga RM18 biasanya hanya RM12, suami makcik bising juga sebab terlalu mahal.

“Sudah la mahal, bekalan telur pun susah nak dapat…sebab itu makcik dan suami pergi pasar saja, kadang-kadang ada bekalan dapatlah kami beli,” katanya.

Manakala Minah Bakar, 65, turut meluahkan nada yang sama sukar mendapatkan bekalan telur malah lebih mahal daripada sebelum ini.

“Sekarang memang susah nak dapat bekalan telur, biasa beli dekat pasaraya saja tapi kadang-kadang dah habis.

“Pasar malam pun jual RM17 satu papan, dah mahal biasanya RM11 atau RM12 saja, sebulan saya akan beli dua sarang terus untuk simpanan, terpaksa beli sebab nak makan,” katanya.

IMG_20221128_140747_321
MELAKA 28 November – Tinjauan orang ramai mendapatkan barangan keperluan di Pasar Besar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Bachang. Foto Iqmal Haqim Rosman

Sementara itu, peniaga Rini Abdul, 45, berkata bekalan telur sukar untuk diperolehi berikutan pembekal turut mengehadkan pembekalan bahan itu kepada peruncit.

“Ada pelanggan awal-awal dah tempah dengan kita takut tak dapat bekalan telur, kadang-kadang saya rasa serba salah.

“Tapi mana yang ada lebihan itu saya tetap akan jual kepada pelanggan, kesian juga mereka nak beli selalu tak dapat,” katanya.

IMG_20221128_124541
BEKALAN telur hampir habis stok di sebuah pasar raya.

Sementara itu, tinjauan di sebuah pasar raya di Tanjung Minyak turut mendapati tiada bekalan telur papan (30 biji) bagi beberapa jenis gred dijual.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2128
Kongsi :
Previous post Sultan Brunei pandu sendiri kereta bawa Anwar ke Seri Perdana
Next post Seorang maut, dua parah dalam nahas tiga kenderaan
Ubah saiz-+=