Masjid Tanah Sentral lengang tiada kedai beroperasi

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

MASJID TANAH 3 Mac – Tidak tahu di mana silapnya, Masjid Tanah Sentral yang dibuka sejak lebih tiga tahun lalu, sunyi sepi tiada kedai beroperasi di situ.

Persoalan itu sering berlegar di fikiran pengunjung kebanyakannya penumpang yang berulang-alik menggunakan kemudahan bas sama ada domestik atau bas ekspres.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) mendapati empat unit kedai di situ tidak menampakkan tanda-tanda kedai di situ mempunyai penyewa biarpun telah diletakkan setiap satu nama pemilik kedai.

Malah orang ramai mendakwa operasi Masjid Tanah Sentral tertumpu kepada kemudahan pengangkutan bas dan hanya akan riuh dengan suara pengunjung sekiranya bas berhenti mengambil atau menurunkan penumpang.

Menurut Rabiah Salam, 33, dia hanya ke Masjid Tanah Sentral untuk menaiki bas ke Melaka Sentral sejak kemudahan itu disediakan di situ.

“Saya tidak pernah nampak kedai beroperasi, kedai memang tutup sejak Masjid Tanah Sentral dibuka bertahun lalu.

“Sayang sebenarnya kemudahan bas sudah terbaik disediakan tetapi kedai pula tidak beroperasi,” katanya ketika ditemui MHI.

Sebagai anak kelahiran Masjid Tanah dia berharap agar pihak berkuasa tempatan terbabit khususnya Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) mengambil tindakan sewajarnya berhubung masalah yang timbul.

EMPAT unit kedai yang terdapat dalam Masjid Tanah Sentral tidak pernah beroperasi sejak dibuka lebih empat tahun lalu. Foto Norizan Abdul Muhid

Sementara itu, Pengarah Jabatan Penilaian MPAG, Rosnani Ibrahim berkata, semua keempat-empat unit kedai di Masjid Tanah Sentral sebelum ini sudah mempunyai penyewa.

Namun, katanya, penyewa menarik diri dan membatalkan hasrat untuk berniaga di situ di saat-saat akhir ketika surat tawaran sudah dikeluarkan.

“Apa yang saya dengar mereka tidak setuju dengan syarat yang kita tetapkan iaitu tidak boleh masak dalam kedai kerana kedai berhawa dingin.

“Malah, harga sewa yang ditawarkan juga agak rendah berbanding kadar biasa di kawasan itu yang mana kita tetapkan RM500 sahaja berbanding RM700 sebelum ini,” katanya.

Kata Rosnani, kadar yang ditawarkan pihaknya jauh lebih rendah berbanding kadar sewa biasa di kawasan itu iaitu sekitar RM1,000.

Bagaimanapun, katanya, bagi menarik minat orang ramai untuk menjalankan perniagaan di situ, MPAG akan menyemak lagi kadar harga sewa yang sedia ada.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4833
Kongsi :
Previous post Solat tarawih dibenar di masjid, surau pada Ramadan ini – Idris
Next post Lebih 42,000 orang dapat kerja, 1,200 pekerjaan diwujudkan pada Januari 2022 – PM
Ubah saiz-+=