Sorting by

×

Masjid tertua di Malaysia sebenarnya di Melaka?

Masa Membaca:3 Minit, 45 Saat

DURIAN TUNGGAL 24 Sept. – Bayangkan betapa sakit dan sedih mata memandang apabila warisan khazanah negara dibiarkan begitu sahaja malah semakin menghitung hari menyembah bumi.

Itulah yang boleh digambarkan sebuah masjid yang diumpamakan sebagai permata berharga di negeri ini terletak di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal
‘berdiri’ dengan binaan batu laterit yang didakwa dibina sekitar abad ke-17.

Binaan yang kini hanya tinggal 30 peratus sahaja itu memperlihatkan setiap struktur batu, tiang, dinding mahupun lantai diperbuat daripada batu laterit bewarna merah dipercayai dibina oleh masyarakat yang membuka penempatan di kawasan berkenaan suatu ketika dahulu.

Pemangku Pengarah Institut Alam Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Madya Zulkifli Ramli berkata, penggunaan batu laterit yang dilihat berkemungkinaan dibentukkan dalam acuan kiub menggambarkan masjid yang dibina berhampiran sungai itu telah wujud sebelum kedatangan penjajah Portugis mahupun Belanda malah berkemungkinan lebih awal lagi dari abad itu.

Jelasnya, setiap elemen yang digunakan termasuk jubin lantai dan atap genting pula diperbuat daripada tanah liat masih kekal hingga hari ini sekali gus menunjukkan kehebatan teknologi dan ketamadunan pendidikan masyarakat pada zaman dahulu.

“Seni bina asal dan elemen yang diguna pakai dalam pembinaan masjid ini berkemungkinan ia merupakan masjid tertua di Malaysia yang mungkin juga telah wujud lebih awal lagi sekitar abad 15 hingga 16 iaitu pada zaman Kesultanan Melayu Melaka.

ZULKIFLI (kiri) dan Hasanuddin (kanan) menunjukkan antara bahan binaan masjid tersebut.

“Kajian lanjut dengan menggunakan kaedah ekskavasi dan dilapidasi perlu dijalankan diikuti proses pemuliharaan monumen supaya bahan kajian yang mempunyai nilai sejarah tersendiri ini tidak terbiar dan tenggelam pada arus zaman.

“Sebagai ahli arkeologi kita perlu buktikan ia dengan kajian dan mungkin juga bangunan ini pernah dilakukan penambahbaikan dan pembesaran dengan tambahan binaan lain.

“Kajian yang dilakukan termasuk menghantar sampel batu laterit serta pelbagai elemen lain akan dihantar ke Amerika Syarikat (AS) menggunakan kaedah ‘carbon dating’ perlu dilaksanakan sebaik mungkin bagi mendapatkan pentarikhan batu laterit yang lebih tepat mengikut piawaian dunia,” katanya.

Zulkifli berkata, binaan batu laterit itu juga sama seperti binaan tembok Kota A’Famosa yang digunakan dari runtuhan Kota Melaka suatu ketika dahulu bagaimanapun ramai yang tidak bersetuju dengan pemahaman sejarah itu.

“Walaupun ramai tidak setuju A’Famosa dibina dengan batu laterit tapi kita ada bukti tembok A’Famosa dibina atas runtuhan Kota Melaka.

BONGKAH batu laterit berwarna merah dan berbentuk segi empat tepat yang kelihatan di masjid berkenaan, menguatkan dakwaan masjid berkenaan dibina seawal zaman Kesultanan Melayu Melaka.

“Kita mencadangkan pihak berkepentingan seperti kerajaan negeri agar dapat bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk merealisasikan proses pemuliharaan masjid ini.

“Kita mungkin mencadangkan agar proses pemuliharaan ini dilaksanakan dengan pemindahan bangunan ini ke lokasi yang bersesuaian agar masjid lama ini tidak terbiar.

“Selain itu kita tidak mahu apabila setelah kita membuat kajian dan baik pulih semula, masjid ini menjadi terbiar,” katanya.

Pada masa sama, Pengasas Maktab Penyelidikan Tamadun Melayu dan Islam Hasanuddin Yusof berkata, binaan batu laterit seperti itu kebanyakannya menggunakan elemen sama seperti beberapa bangunan bersejarah yang bukan sahaja di negara ini namun di beberapa negara di dalam nusantara ini.

Jelasnya, penggunaan batu laterit sama seperti pembinaan Perigi Hang Tuah Di Duyong dan beberapa masjid lain di Nusantara, Selatan Thailand, Myanmar yang turut mempunyai ciri-ciri sama membuktikan kegemilangan agama Islam telah tersebar luas ketika itu.

Lebih menarik, di masjid berkenaan turut mempunyai binaan perigi yang dibina masyarakat terdahulu yang mengaplikasi teknologi menggunakan sistem kincir yang menyalurkan air dari perigi menuju ke kolah utama sebagai tempat mengambil air wuduk di masjid berkenaan.

Malah, berkemungkinan kolah utama itu turut dilengkapi dengan sistem pancuran air terletak di tengah-tengah kolah menjadi satu tanda tanya dalam keilmuan yang begitu tinggi terhadap ketamadunan masyarakat Islam suatu ketika dahulu.

“Melalui pemerhatian pada bingkai tingkap juga turut menggunakan sistem tanggam atau pasak kayu yang memperlihatkan seolah-olah ia dibina sekitar abad ke-18.

SISTEM pancuran air yang terletak di tengah-tengah kolah dalam kawasan masjid itu menjadi tanda tanya terhadap kecanggihan teknologi tinggi ketamadunan masyarakat Islam suatu ketika dahulu.

“Barangkali mungkin ia dibina lebih awal dan tidak mustahil kawasan ini merupakan kawasan di bawah pemerintahan zaman Kesultanan Melayu Melaka.

“Kita tidak menolak kemungkinan masjid ini dikatakan lebih tertua berbanding Masjid Kampung Laut, Tumpat, Kelantan yang banyak menggunakan elemen perkayuan yang sebelum ini diiktiraf sebagai masjid tertua di Malaysia.

“Kita harap peninggalan sejarah ini perlu diselamatkan dengan langkah pemuliharaan dengan kerjasama menyeluruh dari semua pihak bagi memastikan ia dikekalkan buat generasi akan datang agar terselamat dari kebenaran sejarah negara.

Views:

3524
Kongsi :
Previous post Arca keris bersinar di bulatan Alor Gajah
Next post Golongan teknokrat dan korporat disaran tampil sumbang pelitup muka
Ubah saiz-+=