Masuk percuma di Malaysia Heritage Studios, 20 Februari ini

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

AYER KEROH 5 Februari – Malaysia Heritage Studios yang dahulunya dikenali sebagai Taman Mini Malaysia dan ASEAN menjadi produk pelancongan terbaharu menawarkan tiket masuk percuma buat pengunjung pada 20 Februari ini.

Ia adalah bersempena Hari Terbuka Negeri Melaka dan cuti umum Hari Pengisytiharan Kemerdekaan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh memaklumkan tawaran percuma itu terbuka kepada pengunjung serta pelancong dalam dan luar Negeri Melaka.

“Tawaran istimewa ini sebagai tanda penghargaan kepada rakyat Melaka dan pelancong yang telah banyak memberikan sokongan sepanjang 38 tahun taman warisan ajaib ini beroperasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pembukaan Malaysia Heritage Studios, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Melaka (MCorp), Datuk Lim Chow Beng; Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Heritage Studios, Datuk Yong Lam Woei serta kenamaan lain.

Sebelum ini, Melaka Hari Ini melaporkan beberapa produk pelancongan Negeri Melaka menawarkan tiket masuk percuma kepada orang ramai pada 20 Februari ini.

Antara produk pelancongan terlibat ialah Melaka River Cruise, Menara Taming Sari, Zoo Melaka, muzium-muzium di bawah Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) dan Melaka Wonderland.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

7489
Kongsi :
Previous post Pesara maut motosikal dirempuh kereta
Next post Terima kasih pembayar zakat, MAIM
Ubah saiz-+=