Pesara maut motosikal dirempuh kereta

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

AYER KEROH 5 Februari – Pesara kerajaan maut selepas motosikal ditunggang dirempuh sebuah kereta dalam kemalangan di Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah- Jasin (AMJ) berhampiran persimpangan lampu isyarat Lee Rubber, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.55 pagi itu, Abu Hussin Kadir, 66, beralamat di Bukit Cina, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan dibahagian kepala dan kaki.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kemalangan maut itu membabitkan sebuah motosikal Honda NF125 dan Perodua Bezza, dipandu wanita berusia 47 tahun.

“Siasatan dijalankan mendapati sebelum kejadian kedua-dua kenderaan ini dari arah yang sama iaitu, Melaka Sentral menghala ke persimpangan lampu isyarat Lee Rubber.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang ketika itu dikatakan berada di lorong sebelah kanan dirempuh oleh Perodua Bezza dari arah belakang,” katanya.

Menurutnya, akibat daripada rempuhan itu mangsa kemudian terjatuh sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian.

“Dilaporkan pemandu kereta tidak mengalami kecederaan dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengetahui punca sebenar kemalangan.

“Mangsa yang maut kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat,” katanya.

Jelasnya, kedua-dua kenderaan kini ditahan sebelum dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk tindakan lanjut selain kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

10559
Kongsi :
Previous post ‘Taman warisan ajaib’ beri nilai tambah pelancongan Melaka
Next post Masuk percuma di Malaysia Heritage Studios, 20 Februari ini
Ubah saiz-+=