‘Taman warisan ajaib’ beri nilai tambah pelancongan Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

AYER KEROH 5 Februari – Penjenamaan semula Taman Mini Malaysia dan ASEAN kepada Malaysia Heritage Studios berjaya menggamit kehadiran pelancong dan menghidupkan semula taman warisan ajaib itu

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, produk pelancongan yang merupakan hak milik Perbadanan Melaka (MCorp) itu kekal relevan menjadi antara destinasi tumpuan pelancongan sejak ditubuhkan pada 17 Julai 1986.

Menurut Ab Rauf, penjenamaan semula tarikan pelancongan itu juga telah membuka 200 peluang pekerjaan kepada rakyat Melaka.

Malah, ujar beliau, sejak pembukaanya pada Januari 2023 yang lalu, ia telah berjaya menarik sehingga 30,000 pengunjung dan pelancong.

“Sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), saya harap semua penggiat industri pelancongan dapat menaikkan produk pelancongan sedia ada sekali gus mampu meningkatkan lagi nilai hartanah Kerajaan Negeri.

“Usaha penjenamaan semua ini bukan sahaja memberi peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, bahkan menggamit pelancong ke negeri ini.

“Penjenamaan semula ini menjadikan taman warisan ajaib pertama dalam negara seterusnya menjadi sebuah pusat pembelajaran dan pembudayaan warisan menimba ilmu pengalaman yang mempesonakan di bumi bertuah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pembukaan Malaysia Heritage Studios, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MCorp, Datuk Lim Chow Beng; Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Heritage Studios, Datuk Yong Lam Woei serta kenamaan lain.

Dalam pada itu Ab Rauf turut menzahirkan harapan agar penggiat-penggiat industri pelancongan di Melaka bijak dan berani mengunakan peluang yang ada untuk bergerak secara kreatif dengan memajukan kawasan-kawasan pelancongan mengikut peredaran masa bagi memperkasa tumpuan pelancongan negeri Melaka.

Menurut Ketua Menteri, Kerajaan Negeri menyokong penuh dan optimis dalam memperkasa dan memperkukuh sektor pelancongan yang menjadi nadi pengukuhan ekonomi di negeri Melaka.

“Saya mengajak kepada semua ayuhlah kita sama-sama menggembleng tenaga dan semangat yang sama dalam menjayakan industri pelancongan di negeri ini sekali gus menyokong usaha kerajaan negeri menjayakan Kempen Tahun Melawat Melaka 2024,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1300
Kongsi :
Previous post Cuaca panas di Melaka belum di tahap berjaga-jaga
Next post Pesara maut motosikal dirempuh kereta
Ubah saiz-+=