Terima kasih pembayar zakat, MAIM

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

AYER KEROH 6 Februari – “Bagi sesetengah orang nilai ini tidak seberapa tetapi untuk kami ia sangat besar dan bermakna. Menggunakan bantuan RM300 ini dapatlah anak saya ke sekolah dengan lebih yakin dengan menggayakan pakaian seragam dan kasut baharu,” kata penerima bantuan ‘Back To School’ Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Nor Amilia Norman.

Nor Amilia, 43, juga ibu tunggal meluahkan rasa syukur dan terharu apabila anak perempuan tunggalnya berusia 11 tahun terpilih menerima bantuan persekolah.

Jelasnya, inisiatif MAIM benar-benar membantu golongan kurang berkemampuan khususnya asnaf sekitar Melaka.

“Ketika ini saya menjana pendapatan dengan menjual tisu sekitar Banda Hilir, hasil diperoleh memang tidak cukup untuk sediakan kelengkapan persekolahan anak Mac depan.

“Akhirnya saya mampu menarik nafas lega apabila permohonan bantuan anak diluluskan dan dia dapat memilih baju dan kasut baharu,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini pada Program ‘Back To School’ MAIM.

Nor Amilia berkata, bantuan yang diterima anaknya itu adalah daripada keprihatinan dan ihsan pembayar zakat.

“Terima kasih saya ucapkan kepada pembayar zakat dan juga MAIM kerana berjaya menyalurkan sumbangan dengan baik kepada golongan yang memerlukan.

“Sebagai ibu sudah pasti agak bingung memikirkan perkara ini namun sekurang-kurangnya hal berkaitan kelengkapan dan pakaian sudah selesai cuma tinggal untuk pembelian buku sahaja,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1385
Kongsi :
Previous post Masuk percuma di Malaysia Heritage Studios, 20 Februari ini
Next post Bayaran insentif awal penjawat awam dibayar 23 Feb ini – PM Anwar
Ubah saiz-+=