Mayat tanpa kepala, kaki dan tangan ditemui dalam longkang

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

GADEK 6 Januari – Mayat dipercayai wanita tanpa kepala, tangan dan kaki ditemui di dalam longkang di tepi Jalan Besar Alor Gajah Tampin, Kampung Rimau, Pulau Sebang, di sini, 31 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, mayat tersebut ditemui orang awam di dalam sebuah tong sampah yang ditinggalkan di dalam longkang berkenaan dalam keadaan hanya tinggal badan dan tanpa seurat benang.

Menurutnya, mayat tersebut ditemui dalam keadaan sudah mereput dan dijangka telah ditinggalkan dalam tempoh seminggu hingga 10 hari.

“Mayat tersebut ditemui di jalan kampung dan jauh daripada penempatan oleh orang awam pada 31 Disember pada jam 2 petang sebelum siasatan lanjut dilakukan.

“Tiada sebarang tanda badan atau tattoo ditemui dan jantina mayat dikenal pasti berdasarkan keadaan fizikalnya, selain pakar patologi turut berpendapat mayat berkenaan adalah wanita dan dipercayai dalam lingkungan 20-an ke 30-an.

“Pihak polis kini sedang giat mengesan bahagian yang hilang seperti kepala dan kedua-dua belah tangan serta kaki,” katanya.

Img 20240106 Wa0031
MAYAT ditemui di dalam tong sampah.

Beliau berkata, mayat telah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk dibedah siasat.

Katanya, pihak polis juga telah menjalankan ujian DNA ke atas dua kes orang hilang, namun keputusannya adalah negatif.

“Kepada mana-mana yang kehilangan ahli keluarga atau individu dikenali serta mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah di talian O6-5562222 atau boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan DSP Mohd Ali Hanafiah Hasim di talian 019-9536277,” katanya.

Tambah Arshad, kes diklasifikasikan sebagai bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

9997
Kongsi :
Previous post ‘Tak Melayu Hilang Di Dunia’
Next post KM pelawa pelajar IPT bersama majukan Melaka
Ubah saiz-+=